Sunday, February 23, 2014

CERPEN : Ibu Si Mentari Senja

Syahril berdiri tenang di padang itu. Seteduh-teduh mentari senja itu, terhangat juga mukanya yang putih. Dari belakang, Umar menuju kepada Syahril. Ketenangan Syahril jelas di mata Umar.

"Syahril! Apa termenung ni?!", segah Umar dari belakang.

"U..Um...Umar, takde apa. Umar buat apa kat sini?", jawab Syahril teresak-esak.

Terkejut Umar, disangkanya Syahril sedang berehat, rupa-rupanya dia sedang menangis. Jiwanya bergelora tidak setenang mentari senja.

"Kenapa ni Syahril? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?, tanya Umar cuba menenangkan Syahril.

"Memerhati mentari senja, membawa Syahril mengingat ibu, Umar.", jawab Syahril antara dengar dan tidak, perlahan.

Sewaktu berumur 38 tahun, Azimah, ibu Syahril telah kehilangan suami. Berumur 38 tahun, bersama 6 orang anak yang berumur 2-16 tahun, tidak dapat dinafikan memang ujian yang sangat berat bagi Azimah.

Syahril terkenang cerita ibunya. Dulu ayahnya pernah membeli tanah getah sekangkang kera. Sebelum meninggal, ayahnya berpesan kepada ibunya, "Adik Mah, bila Abang Mad tiada nanti, juallah semua tanah di sini, pindah ke bandar, bawa anak-anak".

Sifat taat Azimah kepada suaminya, tidak mempersoalkan itu dan ini. Tidak dia persoalkan kenapa begitu dan kenapa begini. Sepeninggalan suaminya, tanpa bertangguh, terus dijual tanah itu. 1991, harga tanah yang sekangkang kera itu tidaklah seberapa. Mungkin, untuk membeli motosikal kapcai di zaman ini pun tidak mecukupi. Azimah reda, tabah.

Memang, harta sangat perlu baginya untuk membesarkan anak-anaknya yang kecil-kecil itu. Tambahan, apalah sangat keringat wanitanya itu untuk mencari harta.

"Mak Ngah, boleh ke Yah nak pinjam duit sedikit?", terngiang di telinga Syahril dialog Yah, sepupunya seperti yang ibunya cerita kepada.

Azimah, ibu Syahril seorang yang sangat baik hati, tanpa syak apa-apa, diberinya Yah, anak saudara suaminya pinjam sebahagia duit tersebut. Yah berjanji untuk membayarnya sejurus perniagaannya maju. Namun, apa yang terjadi, setelah maju, seolah-olah dirinya tidak pernah berhutang.

Sudahlah janda, anak ramai, Azimah ditipu pula. Tidak diendahkan sangat ujian itu, Azimah meneruskan hidupnya, namun redanya bukanlah reda pasif.

Bagi sesetengah wanita, harta itu ibarat nyawa. Hendak bersuami, dicari yang berharta. Suami bekerja, masih isterimahu bekerja. Tidak cukup kata mereka jika hanya suami yang bekerja. Sedangkan apa yang dikejar bukan keperluan, tapi kehendak kemewahan. Berbeza bagi Azimah, hidupnya hanya seharian, kais pagi makan pagi. Penat, tidak dipedulikannya, demi anak-anak yang kian membesar.

Setelah berpindak ke bandar, pada awalnya jiran-jiran memangdangnya pelik, dek kerana tudung labuhnya yang bukan budaya di bandar  Kota Bharu itu. Digelarnya Kak Mah Dakwah. Ujian yang berat, menyebabkan dia selalu menitiskan air mata. Kesunyian, tiada peneman di sisi untuk meluahkan perasaan, rengekan anak bungsu, Syahril yang mneyebut-nyebut nama ayahnya, Ahmad membuatkan hati Azimah membengkak.

Hari demi hari berlalu, anak-anak semakin membesar, keringat dicurah tanpa berungut. Sesekali, matanya basah, merindui sang suami, sebak tiada tempat mengadu.

Syahril teresak-esak, terkenang cerita ibunya. Baru hari ini dia terfikir, ketenangan ibunya itu seperti mentari senja, nampak tenang namun sebenarnya bergelora hangat. Walaupun umur baru 38, ibunya tidak terfikir untuk berkahwin lagi kerana cinta pertama itu cinta sejatinya dan cintanya kepada anak-anak menjadikannya reda hidup susah kerana bimbang jika berkahwin lagi, anak-anak terabai.

Bersama linangan air mata, Syahril berkata,

"Harta itu bukanlah segala-galanya, terlahirnya anak yang terdidik bukanlah daripada harta yang banyak, tetapi daripada cinta yang tulus."

Matahari terbenam.

3 comments:

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...