Sunday, November 11, 2012

Taubat : Bagaimana Nak Istiqamah?


Bismillah
Alhamdulillah
Wassolatu Wassalamua Ala Rosulillah

Untuk memulakan penulisan untuk tajuk kali ni, amat berat dek kerana saya bukanlah orang yang sesuai. Terlalu banyak kesilapan diri. Minta Allah jauhkan daripada berulang, minta Allah kuatkan diri untuk istiqamah. Semoga dengan penulisan ni, membantu saya dan pembaca untuk menjadi hamba Allah yang taat insyaAllah.

Islam adalah agama rahmat bukannya agama yang menyeksakan. Dalam tulisan yang lalu sudah saya sebutkan serba sedikit tentang keampunan dalam agama Islam dan Kristian (rujuk di sini). Namun, jika dibaca Bible, seolah-olah apa yang mereka fahami dalam Kristian tidak selari dengan apa yang terdapat dalam Perjanjian Lama atau Old Testament. Walaupun dikatakan mereka, dosa adam diampunkan selepas Isa disalib, tetapi Ibrahim dikatakan mendapat berkat tuhan. Orang yang mewarisi dosa diberkati sebelum diampunkan?

Tulisan kali ini bukanlah membicarakan persoalan itu, tetapi persoalan bagaimana untuk istiqamah dalam bertaubat. Sesungguhnya saya tidak mengetahui penghujung kehidupan saya. Namun, saya menulis atas dasar perkongsian, semoga dengan hukum-hukum alam Allah yang merupakan kuasa-Nya, Dia meluruskan jalan saya ke Syurga-Nya.

Seringkali, seseorang yang ada secebis keimanan dalam dirinya akan merasa bersalah jika dia melakukan kesalahan ataupun dosa. Itulah tanda keimanan. Bersyukurlah jika ada perasaan bersalah itu walaupun kita masih melakukan dosa itu. Moga-moga dengan kesyukuran itu, hati kita tertarik untuk bertaubat. Jika nikmat Allah itu kita tidak syukuri dengan memuji Pemberi nikmat, kepada siapa lagii kita harus memuji?

Tanda keimanan seseorang juga ialah, bertaubat selepas melakukan kesalahan. Seringkali keimanan itu mendorong seseorang merasa bersalah tatkala melakukan kesalahan lalu menyesal dan memohon keampunan. Namun, ujian di dunia ini, nafsu, sering mendorong manusia yang lemah atau yang mahu menjadi lemah kembali kepada dosa selepas bertaubat. Keimanan yang secebis seringkali bertanya, bagaimanakah aku ingin istiqamah? Bagaimanakah aku ingin berterusan dalam kebaikan? Ada juga yang hanyut sedikit demi sedikit dalam dosa kerana merasa malu kepada Allah dek dosanya lalu tidak bertaubat lagi kerana berputus asa. Ingatlah, berputus asa itu bukan amalan muslim. Segeralah bertaubat setiap kali melakukan dosa, walaupun sekerap apa pun dosa kita berulang dan carilah penyelesaian!

Saya akan senaraikan beberapa cara untuk mendapatkan taubat yang berterusan yang saya rasakan ia cara yang terbaik untuk dicuba. Tidak salah mencuba, kan? Cara ini mungkin sesuai dengan anda, mungkin juga tidak. Pun begitu, mencuba untuk kebaikan itu lebih baik daripada mati tidak mencuba dalam keburukan.

1. Jaga Solat

Solat mempunyai kuasa yang sangat hebat untuk diri muslim. Solat merupakan kawalan nafsu yang sentiasa mengajak kepada dosa.  Ia merupakan formula terbaik untuk ISTIQAMAH. Sebab itulah dibacakan dalam solat surah al-Fatihah. Dalam surah al-Fatihah terdapat satu doa yang hebat. Ihdinassirotolmustaqim. Tunjukilah kami atau hidayahkan kami ke jalan yang lurus. Jalan yang lurus ini ialah istiqamah.

Itu satu cara solat memastikan kita istiqamah. Cara lain pula, bagi lelaki haruslah solat berjemaah, lebih baik di masjid dan bagi perempuan solat di awal waktu. Bagi lelaki, jika bersolat di masjid secara automatiknya sudah melakukan solat di awal waktu. Solat di awal waktu sangat mendisiplinkan diri. Bagaimana ia mendisiplinkan diri? Persoalan ini saya akan hurai di akhir nanti.

Bagi kaum lelaki, eloklah bersolat jemaah sekurang-kurangnya tiga kali sehari sebagai permulaan. Pastikan solat Subuh walaubagaimana sekalipun, kita solat di masjid. Solat subuh merupakan solat yang sangat sukar bagi lelaki untuk dilakukan di masjid dek kerana nafsu tidur yang mengalahkan iman seseorang. Jika seseorang dapat istiqamah solat subuh di Masjid, insyaAllah dia akan istiqamah melawan nafsunya daripada dosa.

2. Tidur di Awal Waktu

Kenapa perlu tidur di awal waktu? Seperti yang dinyatakan dalam hadis yang berbagai, kebanyakan orang di zaman Rasulullah tidur sejurus selepas menunaikan solat isyak. Perkara ini mungkin sukar diamalkan terutamanya bagi pelajar yang masih menuntut. Bagi mereka, waktu malam ialah waktu untuk mengulangkaji pelajaran atau bagi mereka yang bergerak dalam gerak kerja Islam, waktu malam adalah waktu untuk bermesyuarat, untuk berforum dan waktu selepas itu iaitu tengah malam adalah untuk mengulangkaji pelajaran. Memang sukar.

Persoalan saya, solat subuh atau ulangkaji yang lebih penting dan lebih diutamakan?
Saya mencadangkan satu jadual malam di sini untuk tatapan semua :

7.00-7.30 : Solat Maghrib berjemaah
7.30-8.00 : Makan Malam
8.00-Isyak : Rehat (elok bereha selepas makan supaya pencernaan lancar)
8.30 : Solat Isyak berjemaah
9.00 : Program Islami atau gerak kerja dakwah atau sebagainya
12.00 : Ulankaji pelajaran
1.30 : Tidur
5.30 : Bangun, Mandi, Tahajjud 2 Rakaat, Witir 1
5.45 : Solat Subuh Berjemaah
6.00 : Ulangkaji
8.00 : Pergi Kelas

Bila baca, mungkin anda akan kata, tidur 4  jam sahaja? Ya, tidur 4 jam sahaja. Rujuk di sini. Mungkin susah bagi sesetengah orang untuk mengamalkan cara tidur sebegini tapi insyaAllah dengan keinginan yang tinggi kita berjaya. Berwudhuklah sebelum tidur, dapatkan tidur yang berkualiti, berdoa sebelum tidur.

3. Doa

Inilah senjata seorang yang mengaku beriman. Sebagai manusia, nafsu merupakan musuh yang paling bahaya. Ini tidak dapat dinafikan. Maka, lawanlah ia dengan senjata kita. Pastikan anda berdoa supaya istiqamah pada setiap waktu solat. Jika terlupa, qada. Kerana sekali anda terlupa berdoa, mungkin kali itu juga anda akan lupa bahawa waktu itu anda sedang melawan nafsu, lalu anda mengikut hawa nafsu.

Bagaimana doa bertindak membantu kita dalam segala hal?

Bagi saya yang sukakan logik, saya selalu berpendapat bahawa segala yang Allah lakukan, Dia lakukan melalui sesautu penyebab. Contohnya, Allah memakbulkan doa. Bagaimana Allah memakbulkan doa? Bagi saya, secara logiknya, Allah memakbulkan doa dengan kesungguhan hati kita. Doa bagi saya sebagai motivasi. Sebab itulah doa perlu dibuat secara bersungguh-sungguh.

Sebagai contohnya, seseorang berdoa untuk istiqamah dalam bertaubat, bermakna dia ingin istiqamah bertaubat. Adakah kehendaknya tinggi untuk istiqamah? Jika ya, doa yang dipohonnya kepada Allah secara bersungguh-sungguh. Dengan kesungguhan dia, dia berdoa secara bersungguh-sungguh dan mencuba untuk istiqamah secara bersungguh-sungguh, lalu jadilah taubatnya bersungguh-sungguh dan istiqamah. Doa yang dilakukannya berterusan kerana keinginannya berterusan untuk istiqamah bertaubat. Lalu, dia istiqamah bertaubat.

Jika tidak, seseorang akan berdoa sambil lewa dan akan bertaubat juga sambil lewa sebagaimana ketidaksungguhannya berdoa. Lalu, dia mengulangi dosa.

Seseorang yang ingin bertaubat tetapi mengulanginya, bagi saya tidak lain melainkan taubatnya itu hipokrit, tidak bersungguh-sungguh termasuklah jika orang itu diri saya sendiri.

4. Kerapkan Solat-solat Sunat

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, solat mendisiplinkan seseorang. Di sini saya akan menjawab, bagaimana ia terjadi. Solat akan mendisiplinkan seseorang terutamanya jika dilakukan tepat pada waktu. Ia seperti jadual waktu kita di sekolah, di universiti, di tempat kerja. Kita perlu tiba ke kelas tepat atau terlambat sedikit sahaja ke kelas. Untuk menepati waktu ini bukan suatu perkara yang mudah, tetapi jika dapat dilakukan, ia akan mendisiplinkan diri kita, terutamanya untuk istiqamah.

Untuk memastikan kita istiqamah, kita perlu menambahkan solat-solat sunat sebagai tambahan kepada yang fardhu. Ini kerana, terdapa rung waktu kosong antara dua solat fardhu. Dalam waktu itu, seseorang boleh terleka dengan nafsu.

Contoh :
Abu pulang ke masjid selepas solat Subuh berjemaah di masjid. Pada hari itu, Abu cuti. Pada pukul 8.30 kawan Abu datang berbual-bual. Setelah beberapa minit berbual, perbualan mula mengarah kepada bercakap tentang seseorang (mengumpat). Abu yang teringat akan waktu itu adalah waktu dhuha lalu dia mengajak kawannya untuk melakukan dua rakaat solat dhuha bersama. Dia terhindar daripada mengumpat dengan solat. Selepas solat, pada pandangan anda, adakah Abu atau kawannya akan menyambung umpatan mereka? Tentu sekali tidak, kan?

5. Mengingati Allah (Zikrullah)

Kerap kali saya mendengar ustaz-ustaz bila berbicara tentang zikrullah, mereka hanya bercakap tentang ayat-ayat zikir seperti lailahaillallah, subhanallah dan sebagainya tanpa menghuraikan bagaimana ia berfungsi dalam menjauhkan manusia daripada dosa. Bagi saya, bila membaca ayat-ayat zikir itu tidak semestinya seseorang itu mencapai keadaan sedang mengingati Allah. Tidak dinafikan kesemua ayat-ayat zikir itu mendatangkan pahala kepada pembacanya. Namun, perlu difahami bahawa zikrullah itu bukanlah sekadar sebutan di mulut sahaja. Sebutan ayat-ayat tadi ialah sebagai uslub atau cara atau kaedah mencapai zikrullah atau untuk mengingati Allah.

Selalu kedengaran ustaz-ustaz sebutkan, "Kita digalakkan zikrullah setiap masa.".
Bagi yang tidak memahami, tertanya-tanya, bagai mana zikrullah di dalam tandas? Menyebut nama Allah di dalam tandas?

Perlulah difahami bahawa zikrullah itu bukanlah apa yang disebutkan di mulut, tetapi apa yang ada di dalam jiwa. Mengingati Allah sentiasa melihat hamba-Nya. Sesungguhnya jika kita sentiasa mengingati bahawa Allah sentiasa bersama kita, cukuplah Allah sebagai pengawal kita daripada dosa. Tidak perlu lagi kepada polis atau sesiapa. Inilah zikrullah sebenar.

6. Mengisi Masa Lapang

Sesungguhnya manusia yang bersendirian itu mudah didorong nafsunya. Kerapkan diri bersama manusia sekeliling daripada berseorangan. Bila berseorangan, kita akan merasakan kita sedang berseorangan lalu berbuat dosa sedangkan kita terlupa Allah mengetahui.

Setiasalah bersama golongan manusia yang baik-baik kerana manusia juga mempunyai sifat syaitan. Bila seseorang manusia yang baik tetapi lemah imannya bersama manusia yang tidak baik, imannya mudah diganggu oleh syaitan manusia yang di sedang depani. Jadi, sentiasalah bersama orang yang baik-baik.

Isi masa lapang dengan kerja-kerja dakwah, menuntut ilmu agama, berbual-bual Islami dan sebagaimya.

7. Berkongsi Kebaikan

Pada zaman ini, tidak jarang kita temui, seorang yang baru berubah dikutuk dihina. Seorang wanita yang dulunya mendedahkan aurat, bertaubat kepada Allah dan ingin istiqamah bertaubat. Dia terjumpa kawan lamanya yang sama keadaan dengannya dulu, mendedahkan aurat. Dia yang saya akan kawannya itu menegur kawannya yang mendedahkan aurat dengan penjelasan yang lembut. Balasannya, tentu sekali dia akan mengatakan, "Ah! Kamu dulu pun sama macam aku juga, tak payah nak jadi ustazah nak berceramah depan aku lah!". Kata-kata sebegini biasa terjadi. Inilah yang menjadikan seseorang yang baru bertaubat kembali kepada dosa atau tidak mahu menyampaikan kebaikan.

Jangan takut, jangan takut kehilangan kawan, takutlah jika kawan anda di seksa. Mungkin dengan teguran yang diberikan, dia tidak mahu berkawan dengan kita, tetapi dalam fikiran warasnya dia terfikir akan kebenaran teguran kita suatu masa nanti. Siapa tahu, kan?

* DAKWAH DAN ISLAH ADALAH TANDA CINTA *

Dengan menyampaikan sesuatu, ini menjadikan kita segan untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita cakap.

AKHLAK ialah TABIAT

Akhlak bukanlah sesuatu keadaan yang dibuat-buat tetapi ia sesuatu yang melekat dengan manusia. Sama ada akhlak buruk atau baik. Akhlak ialah tabiat.

Sebagai contoh, Saifullah yang baru bertaubat menjadi lebih baik. Jika sebelum ini, tatkala berjalan, dia selalunya tidak bertegur sapa sesiapa yang berselisih tetapi selepas bertaubat, dia mengubah dirinya, dia menyapa orang yang dia temui dan mengucapkan salam. Apa yang dia lakukan itu bukanlah akhlak tetapi perbuatan. Itu bukan kebiasaannya, bukan apa yang melekat dengan dirinya. Namun, lama kelamaan, tanpa dibuat-buat, secara automatik mulutnya mengucapkan salam kepada orang yang ditemuinya. Nah, itulah akhlak! Itulah tabiat baik.

Memanglah sukar sesuatu kebaikan untuk menjadi kebiasaan yang melekat dengan kita apatah lagi kita sebelum ini sering melakukan dosa seolah-olah dosa  itu melekat dengan kita. Namun, waktu memastikan sesuatu kebaikan melekat dengan kita. Lama-kelamaan, kebaikan itu akan melekat dalam diri kita.

Bersabarlah! Bersabarlah! Bersabarlah dalam melakukan kebaikan sebelum ianya menjadi melekat dengan kita. Semoga setelah ia melekat, istiqamahlah kita. Janganlah terus berputus asa sesekali kita tersalah mengulangi keburukan. Terus berusaha! Usaha tangga kejayaan.
Berdoalah! Berdoalah! Berdoalah! Semoga ia menjadi motivasi kepada kita meneruskan taubat dan amalan kebaikan dengan istiqamah.

Perbanyakkan kebaikan! Hapuskan keburukan! InsyaAllah kita mampu.

Wallahu A'lam.

8 comments:

  1. terima kasih. nasihat yg bguna.

    ReplyDelete
  2. thanks kepada awak si pemilik blog.

    ReplyDelete
  3. terbaik, saya suka penulisan anda, byk ilmu yang dikongsi, mohon share

    ReplyDelete
  4. Subhanallah, penulisan yang bagus. Saya memohon agar dikongsikan ilmu bagi melunturkan nafsu syahwat yang mndorong seseorang tidak istiqamah. hihi. Jazak Allah :')

    ReplyDelete
  5. Terima kasih. Mohon doakan kita semua istiqamah dalam memperbaiki diri ke arah jalan Allah yang benar. In Shaa Allah .. Moga dipermudahkan. Amiinn.

    ReplyDelete

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...