Saturday, March 17, 2012

Nasionalisme : Kebaikan vs Keburukan.

Nasionalisme : Kebaikan dan kekurangan.

Manusia diciptakan berbeza-beza. Banyak perbezaan yang ada dalam kehidupan manusia dan perbezaan yang agak besar adalah pemikiran. Salahlah sesuatu golongan ataupun kaum ataupun pertubuhan yang menginginkan tiada perbezaan dalam berfikir. Oleh sebab perbezaan pemikiran inilah muncul pelbagai ideology ataupun pada zaman ini kita sebut isme. Sekularisme, liberalisme, komunisme, kapitalisme dan tak lupa juga nasionalisme. Tak dinafikan setiap ideologi ini ada sedikit kebaikan dalamnya.

Bila berbicara mengenai Nasionalime, tidak dapat tidak kita perlu bercakap tentang Negara kerana nasionalisme itu terkandung dalamnya perkataan nation ataupun negara. Jadi, apabila berkaitan dengan negara, tidak dapat tidak keberjayaannya akan terpengaruh ataupun dipengaruhi oleh sosio-budaya dan kepimpinan negara tersebut. Antara kebaikan nasionalisme adalah :

1. Kebersamaan dalam mempertahankan negara. Dalam negara kita yang berbilang kaum ini, nasionalisme boleh memainkan peranannya dalam menyatukan bangsa. Di Malaysia, sememangnya konsep nasionalisme ada sejak penubuhan negarabangsa Malaysia. Konsep negarabangsa ini memang termaktub dalam perlembagaan. Namun, adakah nasionalisme di Malaysia berjaya? Pada pandangan saya, ia kurang berjaya memandangkan masih banyak isu perkauman yang hidup segar dalam negara kita. Saya berasakan ia mungkin disebabkan pemerintah sekarang (yang juga mendokong nasionalisme). Tengok sahaja penggunaan bahasa dalam pembelajaran di universiti-universiti, dalam pembelajaran sains dan matematik. Sepatutnya bahasa menjadi alat utama dalam merealisasikan nasionalisme di Malaysia menurut perlembagaan persekutuan.

2. Memfokuskan pembangunan. Jika kita perhatikan dalam konsep kepimpinan, bahagian-bahagian bawah akan ada pembahagian tugas dan akan muncullah beberapa kumpulan dengan tugas masing-masing. Sama juga negara. Asia adalah benua yang besar dan Malaysia negara di bawahnya. Dan dalam keadaan yang kecil ini, Malaysia mudah melaksanakan pembangunan dan ia lebih fokus. Pemimpin Malaysia menumpukan kepada negara Malaysia dan pemimpin Singapura akan melaksanakan pembangunan negara Singapura dan begitulah lain-lain negara.

Dalam membincangkan kebaikan nasionalime, kita sebagai muslim perlu lebih berhati-hati dengan ideologi yang pada asalnya diasaskan oleh bukan Islam. Apabila berbincang soal keburukannya pula, banyaklah yang kita boleh sebutkan.

Kembali kepada sejarah pada zaman yang hampir dengan kebangkitan rasul terakhir, Muhammad, kita perhatikan waktu itu, perpecahan antara kaum amat besar dan peperangan antara kaum ada di mana-mana. Mungkin ini bukanlah perpecahan antara negara tapi hanyalah kaum. Namun, perpecahan itu boleh terjadi juga jika banyak pemimpin yang sama tinggi pangkatnya. Contohnya, Presiden ataupun Perdana Menteri Malaysia, kuasanya tidak lebih berbanding kuasa presiden-presiden di Asia Tenggara yang lain.
Di samping itu, nasionalisme ini juga adalah ideologi yang dicipta oleh orang bukan Islam untuk memecahkan Islam. Dulu, tiada negarabangsa Malaysia, tiada negara Singapura, negara Brunei. Yang ada adalah Nusantara. Nusantara adalah rantau yang mendapat naungan Khilafah Islam di Turki. Pada saat akhir sebelum kejatuhan Tanah Melayu dan daerah-daerah sekitarnya kepada penjajah-penjajah yang bermacam-macam, umat Islam dari luar banyak yang membantu dalam memenangkan mengalahkan penjajah atas arahan Khilafah Islam di Turki. Namun, hari ini kita lihat negara-negara di sekeliling negara kita tidaklah begitu rapat dan saling membantu. Inilah kesan pemecahan rantau ini kepada negara-negara kecil ini ataupun mudahnya kesan nasionalisme.

Seterusnya, seperti yang telah disebutkan dalam perenggan yang lalu adalah perkataan “negara-negara yang kecil”. Apabila sesuatu negara itu kecil, bermakna bilangan penduduknya juga kecil. Bilamana bilangan penduduknya kecil, kuasanya juga kecil. Sebagai contoh, Malaysia yang kecil (selepas pecahnya rantau Nusantara) ini semestinya lebih kecil kuasanya berbanding negara China yang besar dan semestinya Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Muslim akan tunduk kepada negara China yang majoriti penduduknya bukan Islam.

Kita lihat pula sejarah selepas kebangkitan rasul terakhir, kita nampak kesatuan yang kuat. Tidak mengira bangsa ataupun kaum. Islam pada zaman itu bukan hanya dianuti oleh orang Arab, malah juga dianuti oleh bangsa-bangsa lain seperti Parsi dan Afrika. Inilah Islam. Islam yang mempromosikan kesatuan seluruh manusia. Turunnya Quran adalah untuk menyatukan pemikiran manusia yang sememangnya berbeza-beza. Manusia berhak berbeza pendapat, namun pada ketika tertentu ada pengawalnya. Itulah Quran. Untuk zaman ini ada Quran. Zaman sebelum-sebelum ini, ada kitab-kitab mereka. Tujuannya sama, menyatukan manusia.

Jika nasionalisme mempertahankan kesatuan dalam negaranya, liberalism memperjuangkan kebebasan, kapitalisme memperjuangkan orang atas, sosialisme mementingkan yang bawah, Islam pula meraikan semuanya. Islam menjaga hak semua. Hak semua bangsa, hak semua agama, hak seluruh alam.

InsyaAllah, bersambung.....

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...