Sunday, October 28, 2012

Taubat : Kenapa Dosa Berulang?


Bismillah
Alhamdulillah
Wassolatu Wassalamu Ala Rosulillah Wa Ala Aalihi Wa Ashabihi Ajma'in

Beza Islam dan Kristian

Seperti yang kita tahu, Agama Kristian dan Islam mempunyai banyak persamaan termasuklah persamaan bagaimana Adam melakukan kesalahan dengan memakan buah yang dilarang tersebut. Ramai yang menyebut buah tersebut adalah buah Khuldi yang bermaksud buah yang menyebabkan hidup kekal sedangkan itu adalah kata-kata Iblis.
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?
[Surah To Ha, 20 : 120]
Bagaimana mungkin kita juga turut memanggil itu adalah buah Khuldi seolah-olah kita setuju dan percaya akan kata-kata Iblis? Jadi, elakkanlah daripada menyebut, "Buah itu adalah buah Khuldi.", seeloknya sebutlah, "Buah itu ialah buah yang dikatakan Iblis sebagai buah Khuldi.".

Manakala menurut kepercayaan Kristian pula, pokok itu adalah pokok Kebijaksanaan sebagaimana tertulis dalam Bible ataupun Alkitab iaitu dalam Chapter Genesis ataupun Kejadian, dalam bab 3.
Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.
[Kejadian : 3 : 5]
Cerita pada awalnya lebih kurang sama, namun yang mula membezakan Islam dengan Kristian ialah bagaimana tindakan Allah selepas kejadian memakan buah tadi. Perbezaan ini bukan terhenti di situ sahaj bahkan sehingga memberi kesan kepada pemahaman akar dalam agama.

Kefahaman Dalam Islam :
Selepas Adam bersalah dan tahu dia bersalah, dia memohon ampun dan Allah ampunkan dan dikeluarkan ke bumi. Sebagaimana ayat al-Quran :
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
[Surah Al-Baqarah, 2 : 37]
Jadi dosa Adam berakhir di situ dengan ampunan Allah setelah taubat Adam.

Kefahaman Dalam Kristian :
Selepas Adam bersalah, Tuhan mengusir Adam daripada Taman Eden supaya Adam tidak memakan buah yang sejenis lagi yang memberi hidup, iaitu buah Kekekala. Maka diusirlah Adam dalam keadaan berdosa. Dosa Adam pula tidak terhenti di situ, tetapi berterusan kepada anaknya sebagai Dosa Warisan. Inilah permulaan kesesatan dalam Kristian. Disebabkan kefahaman mereka sebeginilah yang menjadikan mereka sesat sehingga menyatakan Isa Al-Masih ataupun Jesus diturunkan untuk menghapuskan Dosa Warisan ini. Dosa Adam menjadikan orang lain turut berdosa. Ini tidak adil kepada manusia lain!

Inilah kelebihan Islam. Seseorang yang berdosa diampunkan dosanya oleh Allah. Tetapi bagaimana? Mesti akan ada yang mempersoalkan, sekiranya dosa diampunkan dalam Islam, bukankah itu adalah ketidakadilan Allah? Jika seseorang membunuh seseorang yang lain ataupun menipu seseorang yang lain ataupun mencuri harta orang lain, dosanya diampunkan. Bukankah itu adalah ketidakadilan?

Kefahaman Tentang Taubat
Tercatat dala Al-Quran :

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[Surah An-Nisa, 4 : 17]

Dalam ayat ini dinyatakan syarat taubat diterima. Yang pertama ialah jahil ataupun secara maksud zahirnya tidak mengetahui dan yang kedua bersegera bertaubat. Ayat ini jika dibaca secara zahir tanpa ilmu tentangnya, tentu menjadikan orang yang berdosa mudah berputus asa untuk bertaubat dek kerana merasakan tidak mematuhi syarat ini.

Seseorang yang membaca ayat ini dengan zahir tentu merasa putus asa untuk bertaubat selepas membaca syarat pertama iaitu melakukan kesalahan dalam kejahilan (tidak mengetahui) sedangkan mereka sudah mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Putus asa itu akan bertambah lagi selepas membaca syarat kedua iaitu bertaubat dengan segera sedangkan mereka sudah lama berbuat dosa.

Sebab itulah seharusnya kita perlu membaca al-Quran dengan memahaminya. Sungguh, dengan memahami al-Quran, hati kita akan menjadi lebih tenang. Ayuh kita fahami ayat tadi dengan membaca ayat sambungannya.
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[Surah An-Nisa, 4 : 18]
Sebenarnya yang dimaksudkan dengan kejahilan di atas ialah kebodohan, seperti seseorang yang terlanjur melakukan kelasahan selalu berkata, "Bodohnya aku! Kenapalah aku buat perkara bodoh itu?" selepas dia melakukan perkara yang dia tahu itu adalah kesalahan.

Mujahid (ahli tafsir) dan lain-lain berkata : "Setiap orang yang bermaksiat (melakukan dosa) kepada Allah, baik keliru ataupun sengaja,bererti ia jahil (bodoh), hingga ia menghindari dosa tersebut.
(Ath-Thabari {VIII/89})

Abu Shalih  meriwayatkan dari Ibnu 'Abbas r.a., ia  berkata : "Perbuatan buruk termasuk kejahilan seseorang."
(Ath-Thabari {VIII/90})

Dan ayat maksud syarat yang kedua, iaitu bersegera bertaubat pula ialah segera melakukan taubat selepas melakukan dosa dan sebelum mati seperti yang disebut dalam ayat ke-18.

'Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan dari Ibnu 'Abbas r.a., dia berkata tentang ayat (yang bermaksud) "Kemudian mereka taubat dengan segera." iaitu waktu antara ia berbuat dosa hingga ia melihat Malaikat maut.
(Ath-Thabari {VIII/94})

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu 'Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda :
(Maksudnya) "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba-Nya, selama nyawanya belum sampai di tenggorokan."
[Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah. At-Tirmizi berkata : "Hasan gharib." Dihasankan oleh Syeikh al-Albani rohimahullah dalam kitabnya Shahihul Jaami' (no. 1903)]

Maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya.


Untuk menjawab persoalan ketidakadilan tadi pula amatlah sukar kerana keadilan Allah terkadang sukar dinilai dan kadang-kadang disalah nilai perkataan keadilan itu sendiri. Seperti contoh, seorang bapa pulang daripada pasar raya, dibawanya untuk si abang yang berumur 10 tahun, satu tin biskut dan dibawanya untuk si adik yang berusia 1 tahun satu tin susu debu. Adakah si bapa dinilai tidak adil? Itulah keadilan! Iaitu memberikan sesuatu kepada yang berhak. Anak yang berusia layak mendapatkan biskut, tetapi tidak anak yang berusia satu tahun.

Kita melihat Allah itu tidak adil dengan mengampunkan orang yang berdosa? Sedangkan Allah itu maha Adil. Dia mengampunkan hamba-Nya yang bertaubat dengan rahmatnya. Namun, orang yang melakukan dosa dengan manusia tidak diampunkan dosanya melainkan diampunkan oleh orang yang dianiaya. Subhanallah!

Kenapa Dosa Berulang?


Seringkali si pelaku dosa yang terdapat secebis keimanan dalam jiwanya akan merasa sangat berdosa dengan kesalahan yang dilakukannya sehingga tekanannya itu dirasakan seperti jiwanya dikunyah-kunyah. Namun, sekiranya berpeluang, dilakukannya lagi dosanya itu.

Ambil sahaja contoh si penagih dadah, setelah diambilnya dadah dan dipuaskan nafsunya, dia merasa sangat bersalah akan apa yang telah dilakukannya. Penyesalan itu tatkala jiwa puas melayan nafsu, namun di ketika nafsu meronta untuk dipuaskan lagi, tanpa segan silu ambilnya lagi dadah perosak. Perkara yang sama akan berulang, menyesal. Dibuatnya dosa, menyesal, dibuat lagi dosa, menyesal, dibuat lagi dosa, menyesal dan begitulah seterusnya.

Cuba fikirkan, matinya penagih tadi dalam keadaan menyesal atau ketika berbuat dosa? Segalanya mungkin. Kaitkan dengan syarat taubat tadi, nampaklah akan kita kenapa kita perlu menjauhi dosa.

Untuk menulis tajuk ini, saya bukanlah orang yang sesuai kerana mungkin sahaja saya ketika menulis ini terlalu banyak dosa. Namun, tulisan ini saya harapkan menjadi saham kebaikan saya dan penghapus dosa saya dan manfaat untuk pembaca sekalian.

Untuk menjawab persoalan kenapa dosa sering berulang selepas taubat ini tidak mudah dan saya sendiri tidak tahu kenapa. Jadi, saya hanya menulis apa yang saya rasakan menjadi puncanya.

1. Tiada keikhlasan.


Mungkin sahaja si pelaku dosa yang bertaubat itu tidak ikhlas dalam taubatnya dan ada sesuatu yang dia inginkan selain reda Allah.

Contohnya seseorang yang merokok berhenti merokok kerana tidak mahu dipandang kotor. Ia mudah kembali kepada tabiatnya ketika ketiadaan orang melihatnya.

2. Tiada ketakwaan.


Takwa ialah seperti perumpamaan seseorang yang berjalan di atas satu permukaan jalan yang dipenuhi duri atau kaca tanpa memakai selipar. Tentu sekali dia berjalan dengan berhati-hati.

Seorang yang bertakwa akan melalui kehidupan sehariannya dengan berhati-hati supaya tidak terhindar dosa. Seseorang yang berulang dosanya itu tiada ketakwaan dalam diri selagi dosanya berulang. Seolah-olah doa memijak duri ataupun kaca yang sama.

3. Tidak membenci kesalahannya.


Tentu sekali orang yang dosanya berulang tidak cukup benci kepada dosanya yang lepas.

Seorang lelaki berjalan di atas satu permukaan padang bola sepak di sebuah kampung. Di padang itu pada waktu malam selalu menjadi tempat tidur lembu-lembu terbiar. Dia berjalan daripada gol kepada gol yang lagi satu kerana dihujung sana terdapat kebun sayurnya. Pada awal perjalanannya, dia terpijak tahi lembu. Tahi lembu itu tentu sekali amat busuk. Dek kerana kebenciannya, dia berhati-hati berjalan dalam langkah seterusnya dan dia tidak terpijak lagi tahi lembu yang lain.

Begitulah perumpamaannya. Jika seseorang itu terlalu benci akan dosanya yang telah lepas melebihi kecintaannya kepada nikmat dosa, tentu sekali dia akan cuba sedaya uapaya meninggalkannya dengan apa cara sekali pun. Kebencian untuk kembali kepada kekufuran ini juga 1 daripada 3 syarat mendapat Halawah Iman ataupun kemanisan iman.

4. Tiada kesungguhan.


Sungguh banyak jihad dalam Islam antaranya jihad ekonomi dan jihad pendidikan. Untuk memastikan taubat kita tidak dicemari dosa yang berulang, kita perlu berjihad dengan jihad jiwa atau nafs.

Terdapat sesetengah golongan yang sering mengatakan jihad melawan hawa nafsu adalah jihad terbesar bersandarkan kepada hadis ini :

Hadis: ” Kita telah pulang dari jihad yang kecil (peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? RasuluLlah berkata: Jihad menentang hawa nafsu”.


Sedangkan hadis ini merupakan hadis dhaif dan ada yang mengatakan ini bukanlah hadis tetapi kata-kata tabi'in. Perkara ini masyhur dalam kalangan ulama', tetapi sering disebarkan dalam masyarakat oleh golongan yang jahil.

Jihad yang paling besar tetap jihad melawan kuffar. Pun begitu, saya berpandangan jihad melawan nafsu termasuk dalam cabang jihad dan sememangnya wajib seorang muslim itu mengekang hawa nafsunya daripada melakukan sesuatu perkara yang dilarang Allah.

Ayuh Hidup Dengan Tenang Dengan Taubat!


Saya menyeru diri saya (terutamanya) dan sahabat-sahabat pembaca semuanya bertaubat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan akan ampunan Allah.

Ayuh penuhi syarat ini :

  1. Ikhlas. Ertinya, taubat pelaku dosa harus ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana perkara lain.

  2. Menyesal akan dosa yang telah dilakukan.

  3. Meninggalkan sama sekali dosa yang telah dilakukan.

  4. Tidak mengulangi dosa yang telah dilakukan. Bertekad tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut.

  5. Istighfar, memohon ampun kepada Allah atas dosa yang dilakukan terhadap hakNya.

  6. Memenuhi hak-hak orang lain sekiranya dosa yang dilakukan kepada manusia. Contohnya, mengumpat atau memfitnah orang lain, maka perlu memohon kemaafan daripada orang tersebut. Begitu juga perihalnya berkaitan harta milik orang lain.

  7. Waktu diterimanya taubat itu dilakukan di saat hidupnya, sebelum tiba ajalnya seperti hadis yang saya sebutkan tadi. Sesungguhnya hijab daripada terampunnya dosa ialah mati dan syirik.

Amal Kebajikan Menghapus Dosa

Marilah kita meningkatkan amalan soleh atau kebaikan kita, semoga Allah mengampuni dosa kita.
Allah berfirman :
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Surah Al-Maidah, 5 : 39]
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat...
[Surah Al-Furqan, 25 : 71]
Dari Anas R.A Meriwayatkan Bahawa Nabi S.A.W Bersabda :
"Setiap orang melakukan dosa, dan sebaik-baik orang yang melakukan dosa itu ialah yang bertaubat"

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Wallahu A'lam. Baca, perhatikan dan ambillah tindakan!

5 comments:

  1. ma syaa ALLAH.

    mabruk!

    tulisan yang mengesankan dan memuaskan!

    ReplyDelete
  2. 'Susu debu' (^^,)
    Kat negara kami, susu debu dipanggil susu tepung.
    Terima kasih, mudah-mudahan diberi kemudahan untuk menulis coretan yang seterusnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adoyai! susu tepung la...oghe Klate gini la...kekadang tlupa

      Delete
  3. Terima kasih atas pencerahan. Semoga dirahmati Allah..

    ReplyDelete

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...