Wednesday, May 23, 2012

Air Mata Si Ibu Tunggal.


PERJUANGAN SI IBU TUNGGAL

Lebih kurang sepuluh tahun dahulu, di satu rumah sewa kayu yang tua dalam satu daerah dalam jahahan Kota Bharu, tinggal satu keluarga sederhana terdiri daripada seorang ibu, tiga orang anak perempuan dan seorang anak bungsu lelaki yang bertubuh sederhana. Selain daripada itu, perempuan tua tersebut juga mempunyai seorang anak lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur pada waktu itu.

Kesemua anak perempuan tua tersebut tidaklah boleh dikatakan anak yang terlalu berdisiplin seperti keluarga-keluarga yang lain kerana apalah sangat keringat seorang ibu untuk mendidik anak-anak keseorangan tanpa bantuan seorang suami yang masing-masing berusia 2-15 tahun sewaktu kematian suami disamping perlu menyediakan makan-minum dan mencari pendapatan untuk disuapkan kepada anak-anak tersebut. Keadaan tersebut menjadikan mereka lebih berdikari.

Perempuan tua tersebut walaupun hidup dalam keadaan sederhana dan boleh juga dikatakan miskin, tetapi sangat disenangi penduduk kampung dek kerana kemesraannya dan sangat dikenali kerana kebaikan hatinya. Beliau dikenali dengan panggilan Mah dalam kalangan warga tua yang sebaya, Kak Mah dalam kalangan dewasa dan Mok Cik Mah dalam kalangan kanak-kanak.

Sebelum kematian suaminya, mereka semua tinggal di satu kampung yang dinamakan Kampung Kandek dalam jajahan Kuala Krai. Namun, selepas kematian suaminya, Mah membawa kesemua anak-anaknya berhijrah ke Bandar Kota Bharu.Seringkali Mah menceritakan kepada anak-anaknya tujuan dia membawa anak-anaknya hidup di Bandar.

Kata Mah,"belum ayoh mati dulu, dae dio pese ko mek(mak), dio pese kalu dio takdoh doh, dio suruh mek jual semua tanoh-tanoh kebun, tanoh rumoh kito Kandek tu. Dio suruh mek bawok anok-anok mek ni hijroh ke bandar bia mudoh nok belajar. Yolah, dok kapung tu bukan molek sangat sekoloh situ. Ayoh pese jugo suruh guno duit-duit jual tanoh tu buat ata ngaji anok-anok, tak payoh sipe. Tapi duit tu dae nga ata Kak Yah (anak Mah yang ke-3) masuk U jah. Adik Mat ngan Adik Nah tok dae doh. Harap-harap adik-beradik hok kijo-kijo doh tu dapatlah tulong Adik Mat nga Adik Nah nok masuk U pulok".

Dalam kemiskinan mereka juga, kerap rumah mereka dikunjungi oleh jiran-jiran sebelah yang mahu menggunakan telefon rumah mereka walaupun yang datang itu menginap dalam rumah batu yang tersergam indah.



Satu petang, datang seorang jiran Mah yang memakai baju kurung Kedah bernama Kak Jah ingin minta berhutang. Mah yang kesuntukan duit pada waktu itu agak gelisah kerana tidak mahu menghampakan jirannya walaupun jirannya itu sudah banyak berhutang dengannya.

Dipanggilnya Mah anak bungsunya yang pada ketika itu berumur 13 tahun, "Awe(gelaran manja kepada seorang anak seperti ya bunayya dalam bahasa Arab), awe ado duit dok, ni Kak Jah nok pinje. Kalu ado duit tabung ko, mai mek pinje dulu, nati mek bayar balik".

Tanpa keberatan, Mat(anak bungsu Mah) bangun seraya berkata, "Ado, smeta oghe ambik dale bilik. Nok berapo?".

        "limo puluh ria", jawab Mah.


Tidak berapa lama selepas itu, Mat yang sememangnya suka menabung datang ke muka pintu menghulurkan sekeping not RM50 kepada ibunya. Begitulah selalunya Mah mencuba untuk menyenangkan hati jiran-tetangga walaupun sehinggalah ke hari ini masih ada hutang yang belum dibayar namun Mah sering menghalalkannya dan tidak akan sesekali pergi memintanya.


Sepuluh tahun yang lalu, genaplah sepuluh tahun kematian suami Mah. Hari ini, lebih kurang sudah 20 tahun sudah suami Mah, Abang Ma meninggal dunia. Dalam kesusahan, kadangkala Mah yang berkulit putih seakan-akan Cina ada didatangi orang-orang yang ingin menjadikan Mah sebagai Isteri. Kebanyakannya kaya dan Mah sering menolak beralasan takut anak-anaknya terabai jika dia bersuami baru.

Begitu mulia hati seorang perempuan tua bernama  Mah.

Kehidupan Mah sebagai seorang ibu tunggal sangat sibuk dan sangat memerlukan tenaga yang mencukupi. Pada waktu gelap pagi, Mah sudah membuka matanya menunaikan solat tahajjud, solat hajat, witir, baca Quran dan seterusnya solat subuh.

Pada waktu cerah pagi, datanglah orang menghantar kanak-kanak untuk Mah jaga kerana sejak kematian suaminya, mah mengasuh anak orang lain sebagai sumber pendapatan. Setelah ditidurkan kanak-kanak yang diasuh, Mah berangkat ke tempat pembuangan sisa kilang pakaian untuk mencari kain. Hasil carian, Mah gunakan untuk menjahit baju anak-anak dan ada juga yang dijahit untuk dijual. Dek kerana jahitan Mah sangat halus. selalunya Mah memenangi persaingan dalam menjual pakaian yang dijahit.

Pada waktu petang, Mah selalunya berehat di anjung rumahnya bersama anak-anak menikmati angin kampung kerana pada waktu malam Mah akan keletihan lagi mengajar mengaji Al-Quran di ruang tamu rumahnya. Tambahan pula, majoriti  pelajar yang datang mengaji adalah daripada kalangan kanak-kanak, memang meletihkan untuk melayan kerenah mereka.

Adik Mat, selalunya akan  menjadi orang pertama mengadap ibunya untuk mengaji. Dia selalu berkata kepada kawan-kawannya yang datang untuk mengaji, "aku nombor satu sebab aku maghi lamo doh sini. Jadi, aku baco dulu".

Pelajar Mah amatlah ramai sehinggakan kadang-kadang Mah mengajar sampai larut malam. satu demi satu anak murid yang diajarnya. Begitulah perjuangan Mah menyambung kegiatan arwah suaminya dahulu. Keletihan bukanlah alasan bagi Mah untuk membatalkan kelas pengajiannya yang diberikan secara percuma tanpa mengharapkan balasan manusia itu.

Namun, ramai ibu bapa yang menghormati guru-guru Al-Quran selalu memberikan Mah beras, gula dan ada kadang-kadang yang memberikan duit. Di samping itu, aktiviti mengajar mengaji inilah yang menjadi satu faktor utama ibu tunggal ini dikenali dan disenangi ramai di kampungnya.

Pada tahun 1996, iaitu 5 tahun selepas kematiannya ayah mereka, anak-anak Mah dan juga Mah dikejutkan pula dengan kemalangan Azmi, anak sulung Mah yang menyebabkan kematiannya. Azmi merupakan seorang yang agak pendiam dan pada waktu itu sedang menuntut di Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu di tahun akhir. Pada hujung minggu, Azmi yang merupakan seorang anak yang agak manja selalu pulang ke kampung. Pernah sekali Azmi Azmi tidak dapat pulang selama dua minggu, lalu dia menelefon ke rumah.

Kriiiing...Kriiiiing....telefon berbunyi. Adik Mat yang sangat rindu kepada abangnya Azmi bergegas mengangkat telefon seraya berkata,

"Assalamualaikum. Sapo nih?"

"Long ni", jawab Azmi.

Setelah berbual-bual dengan adik kesayangannya, Azmi meminta untuk bercakap dengan ibunya, Mah.

"Mek, Ming raso mace nok deme doh ni tringat nok bali rumoh...raso lamo sangat tok balik...", ucap Azmi semasa berbual-bual dengan ibunya.

Pemergian Azmi amat-amat menyedihkan Mah kerana Azmi yang berada dalam tahun akhir itu ibarat buah yang sudah hampir sampai masa untuk dipetik dan dijadikan modal untuk pendidikan adik-adik Azmi sendiri. Tambahan pula, Azmi adalah seoraang anak yang sangat baik. Namun apakan daya Mah, ajal dan maut itu Allah yang tentukan.

Setelah bertahun-tahun pemergian anak sulungnya, Mah masih tidak mampu melihat gambar anaknya Azmi. Dan jika dilihat juga, akan mengalirlah air matanya sehingga dia tidak mampu berkata-kata sehinggakan anak-anaknya yang lain menyembunyikan semua gambar Azmi kerana tidak tahan melihat kesedihan ibunya.
SENYUMAN SI IBU TUNGGAL

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan, tuaian benih yang ditabur dahulu kini menampakkan hasil. Walaupun anak kedua dan ketiga Mah, Talib dan Noor tidak berjaya menjejakkan kaki ke mana-mana universiti, Mah hari ini masih dapat berbangga, kerana 4 daripada 6 orang anaknya berjaya melanjutkan kaki ke maktab dan universiti.

Adik Ming (Azmi) - Maktab Perguruan Batu Rakit (Pendidikan Islam)
Adik Lib - Bekerja di Sabah. Sudah mempunyai 5 orang cahaya mata.
Adik Noor - Menjadi suri rumah yang berjaya. Sudah mempunyai 5 orang cahaya mata.
Adik Yah - Universiti Malaya (Pengajian Islam - Usuluddin). Sekarang bekerja sebagai guru dan sudah mempunyai dua orang cahaya mata.
Adik Nah - Universiti Sains Islam Malaysia (Pengajian Islam - Al-Quran dan Hadis). Baru menamatkan pengajian dan sekarang bekerja sebagai guru.
Adik Mat - International Islamic University Malaysia (Islamic Studies).

Jika dulu Mah ditemani kerenah anak-anak, namun sekarang anak-anaknya semua sudah menjadi orang dewasa. Adik Nah yang kini bekerja di Kuala Krai, Kelantan lah menjaga Mah di rumah. Setiap Khamis, Adik Nah memandu kereta Wira lama pulang ke rumah menjenguk Mah yang keseorangan di rumah. Maka, hari Khamis menjadi hari yang mengembirakan bagi Mah. Namun, hari Sabtu menjadi hari yang menyedihkan bagi Mah kerana dia terpaksa bersendirian lagi selama 5 hari berikutnya.

Hanya suara anak-anak dan cucu-cucu menemani Mah dalam menempuh hari-hari yang penuh sunyi. Setiap hari Adik Noor dan Adik Yah akan menelefon Mah menceritakan perihal mereka dan anak-anak. Di samping itu, Mah juga masih meneruskan mengajar mengaji secara percuma walaupun kudratnya kadang-kadang memaksanya membatalkan kelas. Inilah yang menemani Mah setiap hari.

Mah yang terbiasa kesunyian hanya mampu menguatkan hatinya melalui segala-galanya. Jarak tidak pernah memisahkan Mah dengan anak-anaknya. Setiap malam, dalam kedinginan sebelum, Mah selalu memanjatkan doa untuk kejayaan anak-anaknya tanpa jemu. Itu sahaja yang Mah inginkan dalam hidupnya. Sebagai seorang perempuan tua yang lemah kudratnya, itu sahaja perjuangan Mah dalam menegakkan Islam iaitu dengan memastikan kejayaan anak-anaknya.

Hari ini Mah mampu tersenyum walaupun dalam kesunyian kerana masa depan anak-anaknya nampak seolah-olah ikan berenang-renang dalam air yang jernih. Jelas.

Inilah kisah perjuangan seorang ibu tunggal yang sungguh hebat menghadapi ujian Allah dalam memastikan matlamat hidupnya menegakkan Islam tercapai.

Semoga pembaca sekalian mampu mengambil iktibar daripada cerita ini. Hormatilah ibu bapa yang banyak berkorban untuk kita walaupun berbeza agama sekalipun. Sentiasalah mendoakan mereka seperti mereka yang tak jemu-jemu mendoakan kita.

Wallahu A'lam.

Dedikasi kepada ibuku, Rahimah Binti Muhammad.

5 comments:

  1. ALLAH akbar!!!
    salut mok cik maH!!!
    BARAKALLAHU fikum jamian...!!!

    ReplyDelete
  2. teringat mok ambe kat kampung....[tp ambe dok leh balik]:(

    ReplyDelete
  3. Daripada Allah-lah kita datang dan kepadanya dikembalikan. Dan kepada Dia jualah tempat kita bergantung harap, mendepani ujian-ujian yang datang silih berganti, sebagai tanda ingat dan kasihNya pada kita.

    Ya Allah, bantulah kami mempertahankan kesabaran menghadapi ujianMu.

    :(

    ReplyDelete

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...