Tuesday, January 13, 2015

Mengukir Manusia

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah masih mampu menulis selepas hampir setahun tak menjengah. Selawat dan salam atas junjungan Nabi, keluarga baginda dan sahabat-sahabatnya.

Allah berfirman:




Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [Surah An-Nahl (16): 125] 
Islam merupakan agama yang diseru penganutnya mengajak segenap manusia bersama-sama mematuhi Allah, Tuhan yang sebenar-benar Tuhan. Maka, dalam berdakwah ini Tuhan, sebagaimana Dia memberitahu jalan bagaimana seharusnya manusia menyebahnya, Dia juga memberitahu jalan bagaimana cara-cara mengajak manusia kepada-Nya.

Banyak pantang larang, guide yang Allah sediakan antaranya seperti ayat yang saya nyatakan di atas, iaitu dakwah itu perlulah dengan penuh kebijaksanaan, penyesuaian dan dengan nasihat yang baik. Selain itu, dalam berdakwah juga, Allah berfirman:






Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. [Surah Al-Baqarah (2): 272]

Dalam berdakwah, boleh saja pendakwah akan timbul rasa senak dalam jiwa tatkala yang didakwahnya tidak berubah atau dikatakannya tidak mendapat hidayah.  Rasa senak dan sedih ini tidak hanya menimpa pendakwah-pendakwah yang mencintai manusia seluruhnya namun sudah menimpa Rasulullah sendiri tatkala Rasulullah bersedih dengan keadaan bapa saudaranya, Abu Talib yang mati dalam keadaan belum memberi kesaksian bahawa Allah itu Tuhan yang sebenar-benarnya sehingga Allah menegur Rasulullah.

Teguran dan kejadian ini merupakan aturan Allah untuk Dia ajarkan manusia practically.

Apakah penyebab rasa senak ini?

Tentu sahaja kalau menurut agama Buddha, rasa senak ini iaitu dukkha lahir disebabkan tanha iaitu keterikatan minda manusia dengan dunia yang memotivasikan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkannya. Contohnya, tanha yang ada dalam minda seorang ibu, akan menyebabkan lahir dukkha dalam diri ibu itu tatkala anaknya meninggal dunia.

Konsep ini, walaupun berada dalam kotak tertulis Buddhism, namun kita juga boleh melihatnya juga dalam kotak tertulis Islam. Allah berfirman:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). [Surah Ali Imran (3): 14]
Tidak perlu dijelaskan lagi ayat ini kerana Allah telah menjadikannya sangat jelas berkaitan konsep keterikatan manusia kepada dunia, beserta dengannya Allah datangkan peringatan bahawa dunia itu akan hilang. Dalam firman lain:

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. [Surah Al-Kahf (18): 46)
 Dalam ayat ini juga, Allah datangkan peringatan bahawa dunia itu tidak kekal. Berkaitan keterikatan dengan dunia ini, saya lebih dahulu mendatangkan konsep dukkha dengan sengaja mendahului keterangan al-Quran sebagaimana sejarahnya, ajaran al-Quran itu datang terkemudian berbanding ajaran Buddha. Walaubagaimanapun, cara yang disediakan untuk mendepani dunia dalam dua agama ini berbeza dan tentulah, sebagai seorang Muslim, kita perlu meyakini bahawa cara yang Allah tunjukkan itu yang terbaik, namun bagi penganut agama Buddha, tentu sahaja mereka menganggap apa yang diajarkan agama mereka itu yang sebenarnya.

Jadi, dengan fitrah yang Allah jadikan -manusia terdorong kepada dunia- ini, manusia merasa senak sentiasa bila tidak mengikuti jalan yang Allah tunjukkan dalam menangani fitrah ini.

Pendakwah pentas, penat berceramah di pentas. Pendengar ceramah, keluar sahaja daripada dewan ceramah, terus mengulangi dosa lagi.

Pendakwah jalanan, berpeluh menerangkan Islam di jalan-jalan, namun mereka yang lalu-lalang setelah mendengar, kembali lagi kepada agama masing-masing bagi yang beragama, dan bagi yang tidak mempercayai kewujudan tuhan, terus dengan kepercayaannya.

Yang Sunni akan bersungguh-sungguh mahukan yang berfahaman Shiah datang kepada ajaran yang mereka rasa benar, Sunni. Begitu juga sebaliknya.

Yang mengaku Salafi pun begitu, bersungguh-sungguh mengatakan itu bid'ah, ini bid'ah dalam merasakan mereka benar dan menginginkan muslim lain mengikuti mereka.

Bagi ahli politik Islam, tentunya tidak tidur malam memikirkan betapa teruknya serangan ideologi dan sentiasa pecah otak memikirkan cara mendepaninya.

Tidak hanya itu, dalam skop yang kecil, institusi kekeluargaan, bagi ibu bapa yang penat mendidik anak-anak mereka di waktu kecil, sudah tentu ingin anak mereka melalui jalan yang benar bila sudah meningkat dewasa. Namun, tidak semua anak-anak akan melalui jalan yang benar. Anak-anak juga, tentu sahaja banyak ketidaksefahaman mereka dengan ibubapa dan mereka mengharapkan mereka mampu mengukir ibubapa mereka berminda seperti mereka.

Dalam diri kita, tentu sahaja banyak perkara yang kita ingin manusia lain lakukan seperti yang kita lakukan, mengambil apa yang kita ambil, menerima apa yang kita terima, percaya apa yang kita percaya.

Seperti saya sendiri, tatkala berkawan dengan kawan yang bukan Muslim, saya sering membayangkan mereka menerima apa yang saya percaya. Dan realitinya juga, tulisan yang saya sedang tulis ini, menipu jika saya katakan saya tidak mencita-citakan orang menerimanya.

Tentu sahaja pendakwah akan merasa senak tatkala dia tidak dapat mengukir manusia itu menjadi seperti yang dinginkannya, Ibu bapa juga akan sungguh senak dengan sikap anak-anak mereka yang tidak menjadi seperti yang mereka inginkan. Mereka senak tatkala merasa gagal dalam mengukir anak mereka. Saya, tentu saya akan merasa senak di jiwa bila kawan saya itu tidak menerima apa yang saya percaya kerana merasa gagal mengukir minda kawan saya itu.

Sememangnya, manusia tidak akan mampu mengukir manusia lain menurut kehendaknya. Lihat sahajalah dunia hari ini, Peratusan muslim hanyalah lebih kurang 23% populasi dunia. Selebihnya, 77% lagi, tentulah mereka yang kafir kepada Allah. Dalam 23% itu, tentu sahaja sungguh kecil yang benar-benar berada dalam taat kepada Allah sepenuhnya. 10% kah? 5% kah? 1% kah? Atau lebih sedikit lagi? Hanya Allah yang mengetahui.

Sudah tentulah, kalau manusia mampu mengukir manusia, pastilah saya akan mengukir manusia menjadi seperti yang saya inginkan, 100% populasi dunia. Cuba anda fikirkan, jika saya mampu mengukir manusia, saya akan ukir 100% manusia lain mengikut agama Islam. Dalam masa yang sama, kawan saya yang beragama Buddha contohnya, juga akan mengukir manusia lain memeluk agama Buddha sepertinya. Maka saya akan menjadi Buddha sepertinya dan dia akan menjadi Muslim seperti saya. Tak logik, kan? Ya, memang tak logik manusia itu mampu mengukir manusia. Manusia tidak mampu!

Mengukir diri sendiri sahaja manusia tidak kuat, bagaimana mungkin manusia mampu mengukir orang lain. Seorang yang gemuk, untuk menjadi kurus, pakar kesihatan menasihatkannya supaya tidak memakan nasi selama sebulan kerana nasi mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi yang mana akan menjadi lemak sekiranya pengambilannya melebihi keperluan tenaga yang diguna dan akan menyebabkan seseorang gemuk berlemak. Tentu sahaja tidak semua orang gemuk -yang mahu kurus- mampu meninggalkan tabiatnya memakan nasi yang dia lakukan hampir setiap hari dalam hidupnya. Kemahuannya untuk kurus tidak mampu mengukir mindanya supaya mengarahkan badannya meninggalkan memakan nasi.

Mengukir diri sendiri sahaja manusia tidak kuat, bagaimana mungkin manusia mampu mengukir orang lain?

Kembali kepada petunjuk yang Allah berikan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 272 yang sudah saya nyatakan di atas, Allah mengatakan manusia itu tidak mampu memberikan hidayah kepada manusia lain, yang mampu hanya Allah. Hanya Allah yang mampu mengukir manusia seperti yang dikehendakinya. Menyedari hakikat ini sahajalah yang mampu menghapuskan senak dalam setiap keadaan manusia.

Hanya Allah yang mampu mengukir manusia. Dan Allah sudah pun mengukir manusia. Allah jadikan manusia mampu memilih. Ada yang memilih menjadi Muslim, ada yang memilih menjadi Sikh, ada yang memilih menjadi pendakwah mengajak kepada kebaikan, ada yang memilih mengajak kepada keburukan.

Allah telah mengukir manusia mampu memilih. Allah mengukir manusia mempunyai otak, nafsu, fitrah. Disebabkan itu, manusia tidak mampu mengukir manusia. Bererti, Allah juga telah mengukir manusia bersifat tidak mampu untuk mengukir manusia.

Bukankah dengan itu bererti Allah juga telah mengukir manusia itu jahat ketika manusia memilih melakukan kejahatan? Ya, Allah telah mengukir manusia mampu memilih untuk melakukan kejahatan. Allah ukirkan kemampuan itu sebagai ujian bagi manusia. Kerana dengan ujian yang banyak ini, maka jika manusia masih taat kepada Allah, martabat manusia sebenarnya sudah jauh melebihi martabat malaikat. Itulah tujuan ukiran Allah bernama manusia.

Menyedari hakikat bahawa hanya Allah mampu mengukir, menghakis senak dalam jiwa Nabi dan hakikat ini juga perlu menjadi penghapus senak dalam jiwa pendakwah, anak-anak dan juga ibu bapa.

Dalam menyedari bahawa manusia adalah 'Yang Diukir', bukannya 'Pengukir', maka perlulah 'Yang Diukir' sentiasa dalam keadaan, mengharapkan bantuan 'Pengukir', bukannya merasakan diri mampu mengukir kerana perasaan itu tidak lain, hanyalah sekadar pengundang senak. Pemaksaan untuk mengukir sesama manusia pula akan mengundang sengketa yang besar malah sehingga kepada pertumpahan darah.

Bagi pendakwah, dalam penuh pengharapan kepada Allah, disamping gerak kerja dakwah, perlulah berdoa kepada Allah akan kejayaan dakwah. Ibubapa, dalam pengharapan penuh kepada Allah, perlulah bersabar dengan ujian anak-anak yang bermasalah dan janganlah lupa untuk terus berdoa dan janganlah membiar jiwa terasa senak. Anak-anak, ketika mendepani ibubapa yang tidak memahami jiwa muda, kawallah lidah daripada mengherdik mereka.

Begitu jugalah kepada yang lain, perlu dingingat bahawa kita adalah 'Yang Diukir', bukanlah 'Pengukir'.

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...