Saturday, September 15, 2012

Study Leave


Bismillah

Alhamdulillah

Wassolatu Wassalamu ala rosulillah



Mak Sakit

     Beberapa minggu yang lepas iaitu semasa dalam tempoh pengajian semester pendek, beberapa kali dikejutkan dengan panggilan telefon memberitahu mak saya sedang sakit. Namun, panggilan itu tidak terlalu mengejutkan kerana mak saya agak kerap sakit sehinggalah satu panggilan, saya diberitahu mak saya berada di hospital. Sewaktu itu saya dalam perjalanan ke Bangi untuk menghadiri satu program iftar antara pemimpin-pemimpin berbilang agama di Malaysia anjuran MAIS dan IIS. Menerima perkhabaran itu, hati terus memujuk saya untuk terus pulang tetapi tugas saya waktu itu di samping menghadiri majlis tersebut, saya perlu menghantar sukarelawan perempuan ke tempat tersebut. Hasrat untuk mengikuti majlis tersebut luntur, hanya tanggungjawab untuk menghantar rakan sukarelawan yang perlu diselesaikan.


      Masih saya ingat, waktu itu, duit dalam poket saya memang sangat terhad, dan di dalam bank pula sudah habis. Selepas membayar tambang tren dan teksi kesemuanya, duit yang tinggal hanyalah RM15. Dan untuk pulang semula ke UIAM, tambang teksi sahaja pun sudah RM15. Fikir punya fikir, idea tidak juga datang. Yang dapat difikirkan hanyalah tindakan untuk berhutang daripada kawan sukarelawan yang saya hantar tadi untuk pulang ke UIAM dan untuk pulang ke Kelantan, saya tidak risau kerana kawan-kawan di UIAM, tengok muka sahaja mereka sudah tahu siapa yang ada masalah, siapa yang dalam keadaan baik.



     Dalam kebuntuan, saya menelefon Khairi , adik sesekolah di SMKA Falahiah untuk membelikan saya tiket ke Kelantan. Dia menyarankan saya menelefon Syarikat An-Najm, pengedar tiket di UIAM kerana itu lebih mudah. Saya terfikir, betul juga idea itu, tambahan pula tauke tiket itu pun abang angkat saya. Seingat saya, tanpa menunggu saya terus menelefon Abang Afif untuk bertanyakan tiket untuk ke Kelantan tetapi waktu itu Abang Afif di rumahnya di Taiping, Perak. Buntu. Tidak tahu apa yang harus diperbuat.

    Tiba-tiba, “tzzzt…tzzzt…tzzzt…”, telefon bimbit saya bergetar. Terpampang nama Najib Afif, bakal abang ipar saya –insyaAllah- di skrin. Saya angkat. Saya beritahu saya mahu pulang ke Kelantan dan Abang Najib beritahu dia juga mahu ke Kelantan, tapi dia masih di Perak. Nanti dia akan datang ke KL untuk mengambil saya. Berfikir duit hanya ada RM15, saya meminta dia mengambil saya di Bangi.

      Sambil menunggu ketibaan yang ditunggu, hati gundah gulana di tempat program. Akhirnya, lebih kurang 30minit sebelum waktu untuk berbuka puasa, sampailah abang saya, Najib menjemput saya. Setelah selesai dan berbuka puasa, kami singgah sebentar di rumah kakak Abang Najib kerana dia ingin mengambil barang-barangnya di situ. Setelah itu, perjalanan diteruskan ke Kelantan. Waktu itu saya langsung tidak berfikir untuk singgah di UIAM untuk mengambil pengecas telefon dan iPod.

     Perjalanan yang berliku-liku kami harungi dengan penuh kesabaran. Terima kasih kepada Abang Najib yang penat memandu. Pertama kali memandu lebih 12 jam katanya. Lebih kurang pukul 4.30 pagi, kami sampai di Kota Bharu. Kami terus menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu. Alhamdulillah pada waktu tersebut, pengawal yang menjaga pintu masuk ke wad 28 tertidur, saya terus masuk melihat mak saya. Sekali tengok, terkejut sangat. Kurus sangat mak saya waktu itu. Air mata tak dapat ditahan lagi daripada mengalir, namun sempat melarikan muka supaya mak saya lebih kuat.

Peperiksaan Akhir
     Dua hari pulang ke rumah, hidup diselubungi kesedihan kerana melihatkan keadaan mak saya yang agak teruk. Namun, berlagak kuat supaya mak saya pun kuat. Sesekali kaki melangkah melarikan diri jika air mata hampir-hampir menitik tak tertahan. Selepas dua hari di rumah, kami kembali ke KL kerana saya akan menduduki peperiksaan akhir semester pendek.

     10 Ogos, malam, pada hari peperiksaan akhir, saya terus pulang ke Kelantan. Waktu itu mak saya dah keluar daripada hospital dan akan pergi semula beberapa hari selepas itu untuk prosedur pan-scope. Sebelum prosedur tersebut, mak saya sekali lagi perlu masuk ke wad. Sewaktu di rumah, keadaan mak saya agak baik. Namun kali ini, sekali lagi tidak dapat menahan kesedihan melihat kesakitan mak saya. Kesakitan itu disebabkan oleh ubat yang diberikan untuk mengosongkan perut dan usus bagi memudahkan pelaksanaan prosedur tadi.

     Mak saya sebelum ini dikatakan terdapat ketumbuhan di hatinya. Ketumbuhan yang merebak ke hati. Jadi, prosedure yang saya sebutkan tadi adalah untuk mencari ketumbuhan asal yang mungkin dalam usus atau perut. Namun, setelah prosedur pan-scope itu, doktor tidak menemui apa-apa kecuali luka dalam esophagus atau itu dinamakan penyakit gastrik. Disebabkan itu, pada waktu petang itu, mak saya dibenarkan keluar wad dan perlu menghadiri temu janji pula selepas itu untuk proses CT Scan untuk mencari ketumbuhan yang menjadi rahsia itu.

      Waktu itu adalah cuti hari raya, kakak saya dari Johor pulang bersama suami dan anak-anaknya, kakak dan abang saya yang di Sabah yang tidak merancan untuk pulang beraya juga pulang beberapa hari sebeum hari raya memandang keadaan mak saya yang agak kritikal. Memandangkan saya akan menyambung pengajian pada 10/9/2012, adik-beradik mencadangkan saya menghantar mak ke Johor untuk tinggal di rumah kakak saya. Waktu itu mereka menyangkakan segala maklumat boleh dihantar ke Johor untuk menyambung rawatan di sana. Rupa-rupanya setelah tiket dibeli, sewakti kami ke hospital untuk proses CT Scan, doktor mengkhabarkan bahawa segala maklumat tidak boleh dihantar ke Johor, mungkin kerana kes mak saya yang agak kritikal.

     Tiket telah dibeli, memandangkan tiada siapa di rumah, saya meminta kepada mak saya untuk ambil cuti atau study leave pada semester ini. Namun, mak saya tidak bersetuju, mungkin kerana beliau kasihan akan saya yang sudah berumur namun masih belum menamatkan ijazah. Tidak-dapat tidak, perjalanan ke Johor diteruskan.

Di Johor

     Di Johor, pada awalnya keadaan mak saya agak sbaik pada waktu siang, cuma pada waktu malam mengalami kesakitan. Namun, ia tidak menentu. Pergi ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, menunggu begitu lama, tak pun dimasukkan ke hospital. Berderet-deret orang menunggu.

      Semester baru hampir bermula, waktu itu keadaan mak saya sangat-sangat tidak memuaskan. Namun dek kerana perjuangan di UIAM belum selesai, perjalanan ke KL terpaksa juga diteruskan diiringi kesedihan. Sesampainya di UIAM, keadaan diteruskan seperti biasa dengan lagak tiada masalah yang berlaku.

STUDY LEAVE

     Hari Ahad, malam, kakak saya telefon. Dia meminta saya study leave untuk menjaga mak saya dan katanya dia telah memujuk mak saya. Alhamdulillah. Setuju juga akhirnya. Dalam kepala saya, esok tidak perlu ke kelas, hanya perlu pergi pejabat untuk memohon cuti satu semester. Pada hari Isnin, pergilah saya ke pejabat untuk ambil borang. Pada awalnya saya ingatkan mudah sahaja untuk ambil cuti tetapi hakikatnya ia tidak semudah yang disangka memandangkan waktu awal sem, kesibukan ditumpu kepada proses untuk tambah matapelajaran. Mungkin ini semua disebabkan sistem pendaftaran mata pelajaran di universiti ini yang tidak esfisyen.

     Hari Isnin, permohonan dihantar. Sebelum dihantar, saya diminta membayar RM10. Tanpa berat saya terus membayar, namun dalam jiwa terfikir, "RM10? Untuk apa sampai RM10?". Setelah borang dihantar, kata seorang kerani, "Baiklah, kamu boleh pergi dahulu, nanti kami akan hubungi.". Sampai keesokannya, tiada panggilan daripada pejabat terebut. Saya pergi lagi ke pejabat tersebut, waktu itu saya bawa dokumen tambahan. Kerani lain pula berkata, "Baiklah, nanti saya akan hubungi kamu, sepatutnya pagi tadi masa jumpa ustaz, tetapi ustaz ada mesyuarat. Mungkin petang ini atau pagi esok.". Agak geram mendengarrkan perkataan 'NANTI', namun saya hanya senyum tanda hormat dan sebagai latihan mengawal marah. Tunggu dan tunggu, tiada juga panggilan yang diterima.

      Hari Rabu, pagi-pagi lagi saya ke pejabat untuk bertanyakan masa untuk temuduga dengan ustaz untuk mendapatkan tandatangan kelulusan. Kakak kerani yang sepatutnya menguruskan cuti tersebut tiada, kata seorang kerani lain, dia ke bank untuk suatu tujuan. Saya meminta kerani lain mencari borang saya di atas meja kerana yang ke bank tersebut kerana Ustaz sudah ada waktu itu. Setelah dicari, tiada borang saya ditemui. Terpaksalah saya menunggu kerani yang mengururskannya. Rupa-rupanya borang permohonan sudah masuk ke bilik Ustaz, namun tiada panggilan yang dibuat kepada saya. Inilah sebab kelambatan! Sikap tidak mementingkan orang lain.

     Surat sudah diluluskan ustaz. Urusan dengan ustaz sangat mudah, yang susahnya urusan dengan orang bawahan. Untuk urusan yuran dan asrama, perlu kepada surat rasmi. Saya fikirkan semua itu akan diuruskan semua oleh kerani, kerana selepas ustaz tandatangan, saya sudah bertanya kepada kerani, katanya tiada apa lagi yang perlu diperbuat. Geram ditahan. Hari Khamis, terpaksa ke pejabat lagi untuk minta surat rasmi. Waktu itu kerani tersebut sedang menaga kaunter, katanya, "kamu datang sekejap lagi ya, pukul 11, sebab saya sedang jaga kaunter, tak boleh campur urusan lain.". Saya hanya senyap. Tepat pukul 11 pagi, saya sampai, pandang kiri pandang kanan, tak nampak pun kerani tersebut. Rupa-rupanya baru nak mula makan, lebih kurang 11.15 pagi barulah keluar. Saya terfikir, "Allah, mudahnya kerani U Islam bertidak dengan janji.". Setelah diceknya, dia kata, minggu kedua pengajian mungkin baru siap ni. Dengan senyum menahan geram, saya beritahu dia yang mak saya sedang sakit dan saya perlu cepat pulang. Katanya lagi, "Kalau begitu datang esoklah dalam pukul 11, tu pun kalau siap."

      Melalui perbicaraan kami, saya fikirkan, proses untuk mendapatkan surat rasmi itu susah dan perlu kepada kaitan AnR dan sebagainya. Rupa-rupanya, pada hari jumaat, pukul 11 pagi lewat sedikit, saya ke pejabat dan surat itu sudah siap ditaip dan sudah ada di dalam komputernya dan tinggal lagi hanya edit nama dan tarikh. Allahu Akbar, perkara yang boleh disiapkan dalam masa kurang dari 15 minit itu dikatakannya boleh siap dalam seminggu. Betapa tidak caknanya kerani UIAM terhadap masalah yang dihadapi pelajarnya.

       Di mahallah pula, saya menghadapi masalah kerana terpaksa memindahkan semua barang saya daripada bilik. Sepatutnya, saya boleh menyimpan barang saya di bilik asal jika saya bayar yuran. Perkara ini menggusarkan kerana tidak tahu ke mana hendak dibawa barang-barang yang banyak tu. Namun, sekali lagi masalah terlerai selepas Abang Najib bertahu mahu melawat mak saya di Johor. Jadi, bolehlah saya bawa buku-buku yang disayangi itu ke Johor untuk disimpan.

     Semua urusan selesai, tinggal lagi sedikit pakaian yang belum dimasukkan ke dalam beg. Sekarang, saya menaip post ini sebelum berangkat ke Johor beberapa jam daripada sekarang. Study leave akan bermula. Sedih meninggalkan sahabat-sahabat di sini yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kampus. Antara kawan saya yang akan bertanding ialah Anas Mazli dan Hafis Firdaus, kedua-duanya pelajar kejuruteraan.

Untuk semua calon yang saya kenali, saya ucapkan, "WE UNITE FOR ISLAM".

     Masuk semester depan, saya perlu menyediakan diri dengan mental yang kuat untuk daftar matapelajaran kerana pelajar-pelajar yang bercuti tidak boleh menggunakan sistem komputer untuk daftar subjek. Satu lagi kepayahan yang UIAM tawarkan untuk pelajar-pelajar yang kesusahan dan memerlukan kepada cuti. 'Terima kasih' saya ucapkan kepada seluruh pentadbiran UIAM yang suka menawarkan kepayahan kepada pelajar.

Pilihan Raya Kampus

     Menyentuh isu pentadbiran UIAM, saya amat-amat kecewa dengan pentadbiran UIAM kerana terlampau banyak kerenah. Berkaitan Pilihan Raya Kampus, saya ingin melihat ia dilakukan secara telus, bukannya seperti sebelum-sebelum ini. Memang benar WUFI memenangi pilihan raya  kampus yang lepas-lepas, namun sistem seperti e-voting saya rasa tidak perlu dan ia boleh membawa kepada penipuan. Selain itu, saya berharap untuk PRK selepas ini ada wakil pelajar sebagai pemantau. Kedengaran juga isu kaitan pro-Aspirasi dengan UMNO dan juga pentadbiran dengan UMNO.

      Isu  Ustaz Azhar dilarang berceramah di Masjid UIAM, isu Dr Aziz Bari digantung tugas kerana satu kenyataannya berkaitan Sultan Selangor, isu Dato' Saifuddin, timbalan Menteri Pengajian Tinggi dihalang membentangkan e-booknya di AIKOL, isu Presiden SRC yang lepas, Iqbal yang dihalang berdialog dalam Hujah TV9 bersama Prof Dr Zaleha dalam beberapa jam sebelum program, dan yang paling terkemudian, isu K-FIQH dihalang diadakan di Main Audi 36jam sebelum program. Semua ini harus diingat semua pelajar bagaimana jeleknya tindakan-tindakan pentadbiran UIAM yang mungkin dibanyangi UMNO-BN. Pesanan saya untu orang atasan UIAM, duhai manusia, janganlah kamu takut makan minummu ditutup pihak yang lebih atas semata-mata jika kamu ingin memperjuangkan Islam. Jika kamu takut makan minummu ditutup pihak yang lebih atas, dan kamu laksanakan seperti permintaan mereka, maka jangan dimarah jika kami mengatakan kamu semua BUSUK HATI, kerana itulah hakikatnya. Seorang munafiq sangat mudah mengorbankan agamanya demi makan minumnya.

Doa

Saya doakan kawan-kawan saya yang bertanding diluruskan niat mereka.
Saya doakan WUFI memenangi PRK UIAM dan Pro-Mahasiswa memenangi PRK di universiti-universiti lain.
Saya doakan kemenangan mereka -insyaAllah- menjadi petanda yang baik.
Saya doakan PAS dan rakan Pakatan Rakyat menewaskan Kerajaan Rasuah, Ketirisan UMNO-BN dan sekali gus menjadi petanda kebangkitan Islam teluruh dunia -InsyaAllah-.
Saya minta setiap yang membaca post ini mendoakan kebaikan kepada ibu saya dan kekuatan kepada saya.

Buku
InsyaAllah cuti ni akan dihabiskan untuk menjaga mak dan membaca buku. O my books, here I come!
Harap istiqamah la...=)
Wallahu A'lam.

4 comments:

  1. Apapun, jangan pandang belakang.Teruskan pandang ke hadapan.Tempuhi apa yang ada dengan senyuman..

    Allah..Allah..Sebab itu nabi s.a.w menyifatkan pada orang beriman..senyum ketika dilanda musibah..

    AllahuAkbar!

    ReplyDelete
  2. semoga anda dan keluarga terus tabah... Moga ibumu terus kuat dalam menhadapi dugaan dari Allah..Amin

    ReplyDelete

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...