Assaamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.
Bismillahirrohmanirrohim.
Alhamdu lillahi robbil-alamin.
Wassolatu Wassalamu ala rosulillah waala alihi waashabihi ajmain.
Emak Sakit.
Pada hari Sabtu yang lepas, pagi-pagi lagi saya meninggalkan UIAM menuju ke Hotel Equatorial, Bangi kerana ada program di situ. Program Iftar Mahabbah bersama ketua-ketua agama lain iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Tao dan Sikh. Program sepatutnya bermula pada pukul 4.30 petang, tetapi saya bertolak awal kerana sebagai volunteer saya dikehendaki sampai sebelum pukul 12 tengah hari.
Sewaktu berada dalam tren, kakak saya telefon daripada Johor tetapi saya tidak menjawabnya kerana segan untuk bercakap dalam khalayak. Sesapainya di KL Sentral, dapat satu SMS daripada kakak mengatakan mak saya sakit dan dimasukkan ke wad. Secara spontan saya terus terfikir untuk balik semula ke UIAM dan membeli tiket untuk ke Kelantan. Namun, saya perlu menghantar kawa ke sana dahulu. Perjalanan ke Bangi diteruskan juga dengan penuh keberatan.
Sewaktu itu, duit dalam poket hanyalah RM15. Celaru memikirkan macam mana untuk sampai ke Gombak dengan RM15 ini. Tiket ke Kelantan tiada masalah, bila sampai di UIAM boleh sahaja cekau duit sesiapa. Tiba-tiba tunang abang saya telefon daripada Perak. Katanya dia ingin ke Kelantan dan dia pelawa saya balik bersamanya. Alhamdulillah pertolongan tiba.
Suasana di Wad.
Setelah bersusah-payah untuk sampai ke Kelantan, akhirya kami sampai juga dengan ketentuan-ketentuan sunnatullah. Di wad, banyak pengajaran yang dapat diambil oleh orang-orang yang suka memerhati dan berfikir.
Di wad, kebanyakan pesakit merengek-rengek kesakitan menanggung azab dunia. Pesakit-pesakit, keluarga pesakit, jururawat-jururawat serta doktor-doktor bertungkus-lumus berusaha memastikan kepulihan pesakit dan memastikan umur pesakit lebih panjang. Begitu berharganya sedikit umur yang berbaki sehinggakan berbagai pihak cuba mempertahankannya.
Waktu ini, terfikir sejenak saya akan masa-masa yang telah saya buang sepanjang hidup saya selama 23 tahun. Banyak sekali. Adakalanya masa digunakan untuk berbual-bual kosong, bergurau senda, bermain games dan berbagai lagi. Tidak kurang orang lain ada yang dihabiskan untuk menonton movie Melayu, Cina, Korea Inggeris dan sebagainya, menonton perlawanan bola sepak, ada yang berzina, ada yang mencuri dan sebagainya.
Allahu ya Ghaffar. Ruginya kami. Benarlah kata-Mu.
Bismillahirrahmanirrahim.
Demi waktu Asar, sesungguhnya manusia itu sungguh berada dalam kerugian. Kecuali 1) orang-orang yang beriman, 2) orang-orang yang berbuat kebaikan 3) orang-orang yang berpesan kepada kebenaran 4 orang-orang yang berpesan dengan sabar.
Di wad juga, ibu saya kesakitan dan dalam kesakitan itu bersusah payah untuk solat. Sukar sekali dan semestinya yang lebih sukar adalah untuk mendapatkan khusyuk. Melihat keadaan itu, teringat suatu masa dahulu, sewaktu dada saya ditumbuhi kayap. Kayap merupakan sejenis ketumbuhan dipenuhi cecair. Kesakitannya tidak seberapa dibandingkan kesakitan ibu saya, namun untuk solat sudah dirasakan berat dan sukar. Apatah lagi kesakitan yang berat.
Kembali kepada ayat dalam surah An-Asr ataupun dalam bahasa Melayu Waktu Asar. Selalunya ramai yang memberi maksud Al-Asr sebagai waktu sedangkan ia khusus kepada waktu asar. Waktu Asar boleh dikatakan waktu pengakhiran siang. ia merupakan sumpah yang Allah gunakan dalam surah ini. Kadang-kadang sumpahan yang Allah gunakan tidak berkait dengan apa yang disampaikan selepas itu seperti dalam surah Ad-Dhuha, nampak seperti tidak berkait. Dalam surah ini, juga cuba kita lupakan seketika waktu asar itu, dan anggap ia sebagai sumpahan Allah bertujuan menguatkan apa yang akan disampaikan selepas itu.
Sesungguhnya manusia sungguh berada dalam kerugian. Semuanya kerugian. Bukan hanya kerana manusia tidak menghargai masa, tetapi yang lebih penting kerana dia tidak beriman, tidak melakukan perbuatan baik, tidak berpesan kepada kebaikan dan kepada kesabaran. Masih ingat lagi suatu masa dahulu Bro Shah Kirit pesan, dalam surah ni ada 4 tazkirah dan jika 4 ditolak 1 akan jadi kosong. Maksudnya, jika salah satu daripada 4 tazkirah dalam surah ini ditinggalkan, kerugian tetap bersama manusia tersebut.
Berada di hospital, banyak keadaan yang diperhatikan. Ada yang bersusah payah melaksanakan solat fardu, ada yang dengan ringan meninggalkan solat. Tidak lupa juga masih ramai yang di tempat lain sedang asyik membuang masa. Adakah mereka menunggu sakit dahulu baru hendak merasa rugi dengan apa yang diperbuat? Ataupun bila sakit mereka beralasan, sakit macam mana nak solat.
Persoalan yang bermain di fikiran sewaktu di hospital : Sering saya dan kawan-kawan mengatakan hiburan itu untuk menenangkan hati untuk ibadah seterusnya dek kerana kepenatan ibadah sebelum ini. Hiburan yang di ambil itu tidak kurang yang melalaikan, mendatangkan dosa, menonton dedahan aurat dan sebagainya. Persoalannya, adakah perkara-perkara ini yang akan membantu setelah mati nanti atau kepenatan beribadah dan memenuhi tuntutan 4 tazkirah tadi yang akan membantu kita menjadi manusia yang tidak rugi? Adakah hiburan melalaikan tadi dikira sebagai amal kebaikan di sisi Allah?
Teringat satu pepatah Melayu, "SUDAH TERHANTUK, BARU TERNGADAH". Adakah kita nak insaf atau berbuat baik setelah kita ditimpa kesusahan? Adakah kesusahan yang akan datang dahulu atau kematian? Allah.
Persoalan yang perlu disoal juga jika kita ingin menunggu sakit dahulu baru nak beramal kebaikan ialah, adakah kita berjaya menghadapi ujian sakit? Adakah kita sanggup bersolat dalam kesakitan sedangkan dalam keadaan sihat tidak pun kita melatih diri kita ke masjid bersolat jemaah?
Renungan untuk diri sendiri...gerun wo!!!
Allah! terasa masa sgt berharga..masa muda apatah lg..syukran ats perkongsian..ayuh manfaatkan masa untuk perjuangan Islam..
ReplyDeletesama2...
Delete