Tuesday, October 9, 2012

Bersuci : Perkara Yang Perlu Diamati.

Bismillahirrahmanirrohim.
Alhamdulillah.
Wassolatu wassalamua ala rosulillah wa ala alihi wa ashabihi ajma'in.

Bersyukur kepada Allah atas segala-galanya. Dia yang menjadikan segala-galanya termasuk segala sistem cakerawala, segala sistem yang ada di dunia, segala hukum fizik yang ada sama ada motion, energy, force, thermodynamics, Dia la yang jadikan semuanya. Segala-gala yang terjadi mengikut hukumnya. Hidupnya seseorang dan matinya seseorang mengikut hukum sunnatullah yang sudah ditetapkan-Nya. Sungguh, sehebat mana pun manusia, tidak akan mampu untuk memahami keseluruhan hukum-Nya. Masya-Allah.

     Sungguh kita dijadikan oleh Allah untuk menjadi hamba kepada-Nya. Sebagaimana seperti zaman terdahulu, ada sistem kehambaan yang menjadikan manusia hamba kepada manusia. Sebagai hamba kepada manusia lain, hamba itu perlu mengikut segala-gala yang tuannya  arahkan, tidak dapat melawan sedikit pun. Begitulah manusia kepada Allah. Perlu mengikut segala arahan dan suruhan Allah dengan melaksanakan segala yang baik dan meninggalkan segala yang buruk. Malah menjadi hamba kepada Allah terlebih lagi memerlukan manusia berhati-hati (taqwa) kerana setiap yang dilakukan ada balasannya. Baik balas baik, jahat balas jahat.

      Bagaimana caranya melaksanakan tugas sebagai hamba (beribadah)? Semuanya Allah sudah tetapkan dan disampaikan melalui Al-Quran dan Al-Hadis. Begitu jugalah dalam bab bersuci, segalanya sudah dijelaskan. Bab bersuci ataupun thaharah ialah bab pertama yang akan diajar dalam fardhu ain. Jika kita berumur 23 tahun, lebih 16 tahun lepas, sudah kita pelajari bab bersuci, namun jika kita ke masjid-masjid, masih bab yang diajarkan kepada orang-orang tua masih lagi bab bersuci. Begitu pun, masih ramai daripada kita melakukan kesalahan dalam bersuci.

BERSUCI

Bersuci terbahagi kepada 2 : bersuci daripada najis dan bersuci daripada hadas.

     Tulisan saya kali ini tidaklah tertumpu kepada konsep dan penerangan bagaimana bersuci, berapa jenis najis yang ada, berapa jenis air yang ada dan sebagainya tetapi hanya menyentuh kepada kesilapan kita dalam bersuci. Bersuci kadang-kadang tidak diambil berat oleh sebahagian daripada umat Islam sedangkan ia syarat untuk solat menjadi sah dan diterima.

      Mari kita perhatikan sejenak hadis ini :
“Daripada Ibnu ‘Abbas R.A dia berkata: Nabi SAW melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya.  
Nabi bersabda: Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar.  
Kemudian Baginda bersabda: "Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba." 
Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. 
Lalu dikatakan: "Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”. 
 KESALAHAN-KESALAHAN YANG BIASA DIPERBUAT

Kesalahan 1 : Mencampurkan pakaian bernajis dengan yang suci ketika memcucinya.

Nampak seperti tiada apa-apa yang perlu dirisaukan untuk mencuci pakaian yang bercampur antara yang bernajis dan tidak bernajis. Oleh kerana itulah ramai yang sering melakukannya. Perkara ini terjadi dek kerana pengajian kita di sekolah hanyalah pengajian teori sedangkan Islam adalah agama praktikal. Bila seseorang belajar teori, sukar untuk dipraktikalkan kecuali teori dihuraikan dengan contoh-contoh praktikal.

     Contohnya, di sekolah kita belajar tentang air mutanajjis dan kita tahu air akan jadi mutanajjis sekiranya air bercampur dengan najis. Air yang kurang daripada dua kolah akan jadi mutanajjis walaupun tidak berubah sifatnya. Itu teorinya dan jika teori ini tidak dihurai dengan contoh praktikal, kita akan faham bahawa najis yang seketul jika dimasukkan dalam sebaldi air atau dalam bekas yang kurang daripada dua kolah atau kullah akan jadi najis. Sedangkan banyak contoh praktikal yang perlu dihuraikan, contohnya, pakaian yang bernajis diletakkan di dalam air yang kurang daripada dua kullah menjadikan air itu mutanajjis dan sekiranya pakaian yang suci dimasukkan ke dalam bekas tadi, pakaian yang suci juga akan jadi bernajis.

     Kita pada hari ini kebanyakannya mencuci pakaian menggunakan mesin basuh termasuklah ramainya pelajar-pelajar di universiti menggunakan mesin basuh untuk mencuci pakaian. Di sinilah bermulanya masalah kerana mesin basuh tidak pandai mengasingkan pakaian dan membilasnya satu persatu.

     Pernah suatu ketika di UIAM, di Kuliyyah of Engineering, saya menghadiri kuliah Habib Ali Al-Hamid dan waktu itu dalam menghuraikan bab bersuci. Pada waktu itu dihuraikannya juga tentang bagaimana mencuci pakaian yang menyebabkan pakaian akan menjadi bernajis.

     Baiklah, sekarang seperti yang saya jelaskan di atas, sekali lagi saya akan terangkan bagaimana pakaian  kita akan jadi bernajis ketika kita mencucinya.

Pakaian 1 : Baju Melayu (suci).
Pakaian 2 : Seluar dalam yang terdapat sedikit air kencing (bernajis).

Air (suci) + Pakaian 2 (bernajis) = Air mutanajjis (bernajis)
Air mutanajjis (bernajis) + Pakaian 1 (suci) = bernajis.
*Pakaian 1 dan Pakaian 2 kedua-duanya sudah bernajis.

Ketika membasuh menggunakan tangan :

Selepas mencampurkan Pakaian 1 dan Pakaian 2 dalam satu baldi beserta dengan air, pakaian kita kedua-duanya sudah bernajis tetapi sekiranya kita membasuh dengan tangan, selalunya kita akan membilasnya satu persatu dan perkara itu akan menjadikan pakaian kita kembali menjadi suci. Jika kita tidak membilas satu persatu dan terus memerah dan menjemurnya, pakaian kita akan tetap bernajis walaupun setelah kering kerana najis tidak dihilangkan dengan jemuran matahari.

Ketika membasuh menggunakan mesin basuh :

Selepas mencampurkan Pakaian 1 dan Pakaian 2 dalam satu mesin basuh, selepas mesin basuh dihidupkan, air akan dimasukkan, pada ketika itu pakaian kita kesemuanya akan jadi bernajis. Selepas itu, air basuhan pertama akan dikeluarkan daripada mesin basuh. Walaupun air sudah dikeluarkan, pakaian anda tetap bernajis kerana tidak disiram satu persatu.

     Air dimasukkan untuk kali yang kedua. Air yang dimasukkan pada asalnya bersih menjadi air mutanajjis kerana bercampur pakaian kita yang bernajis. Begitulah seterusnya.

     Inilah kesilapan kita. Selalunya kita menghimpunkan pakaian kita yang kotor sama ada bernajis ataupun tidak di dalam satu baldi yang sama dan sewaktu membasuhnya, terus dicampakkan kesemuanya ke dalam satu mesin basuh. Pakaian yang bernajis tadi akan kita pakai untuk bersolat dan semestinya solat kita tidak akan dterima jika pakaian kita kotor. Allah berfirman dalam surah al-Muddassir surah ke-74 ayat ke-4 :
"Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan".

Bagaimana untuk memastikan pakaian kita suci daripada najis :

Langkah 1 : Letakkan pakaian-pakaian yang sudah kita pakai ke dalam dua bekas. Satu bekas untuk pakaian yang tidak bernajis dan satu bekas untuk pakaian yang bernajis.

Langkah 2 : Cuci terlebih dahulu najis yang melekat di permukaan pakaian bernajis satu persatu sehingga bersih dan tidak bernajis.

Langkah 3 : Campurkan pakaian suci dengan pakaian bernajis yang sudah dibersihkan najisnya ke dalam satu mesin.

Ringkasan :

Pakaian bernajis - najis = pakaian suci.
Pakaian suci + pakaian suci = pakaian suci.
Pakaian suci + solat = solat diterima.

Kesalahan 2 : Solat selepas tidur dengan seluar yang terkena najis.

Tidur adalah satu keadaan yang kesedaran tidak wujud dalam diri kita dan dikatakan sebagai mati kecil. Berkaitan bersuci, terdapat satu hadis yang berkaitan antara bersuci dan tidur. Hadis yang diriwayatkan daripada Muslim (278) daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda :

Apabila seseorang kamu bangun daripada tidurnya, maka janganlah dia menyelamkan (menyelup) tangannya ke dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan).
     Hadis ini untuk menerangkan berkaitan air akan menjadi najis jika najis dimasukkan ke dalamnya. Namun, apa yang saya ambil daripada hadis ini bukanlah berkaitan itu tetapi berkaitan tidur. Seperti apa yang Rasulullah sebutkan, apa yang saya gelapkan di atas, menunjukkan kita tidak sedar apa yang berlaku kepada tangan kita semasa tidur.

      Bagi sesetengah orang yang tidak cakna, mereka bersolat selepas bangun tidur dengan memakai pakaian yang sama tanpa memeriksa sama ada bernajis ataupun tidak. Ini mungkin akan menjadikan solatnya tidak sah sekiranya terdapat najis di permukaan pakaiannya. Walaubagaimanapun solatnya tetap sah sekiranya tidak terdapat najis di pakaiannya.

      Bukanlah satu kerugian bagi kita untuk memeriksa dahulu pakaian kita sebelum bersolat, terutamanya selepas bangun tidur. Sebagaimana kita tidak sedar ke mana tangan kita bergerak sewaktu kita tidur, begitulah juga mungkin kemaluan kita mengeluarkan air mazi sewaktu tidur tanpa kita sedari. Jika kita tidak memeriksa dan bersolat dengan pakaian yang terdapat air mazi, solat kita tidak diterima.

     Bagaimana untuk memeriksa? Sedangkan air mazi pada pakaian sukar dilihat apatah lagi untuk memeriksa pakaian yang besar, tentu sukar sekali. Ya, memang sukar untuk memeriksa dan kita tidak akan perasan terdapatnya air mazi pada pakaian kita kecuali ketika kita tidur dengan memakai seluar dalam. Kesan air mazi tidak akan terkena di pakaian lain sekiranya seluar dalam dipakai. Namun, sekiranya tidak dipakai, sukar sekali untuk mengetahui di mana kesannya air mazi tadi.

        Jadi, untuk mengelakkan solat daripada tidak diterima, eloklah kita perhatikan langkah-langkah untuk masalah kesalahan kedua ini.

Sekiranya tidur memakai seluar dalam :

Langkah 1 : Periksa seluar dalam jikalau terdapat najis.
Langkah 2 : Sekiranya terdapat najis, perlulah dibersihkan atau boleh dibuka.
Langkah 3 : (sekiranya terdapat najis) cuci kemaluan.

Sekiranya tidur dengan tidak memakai seluar dalam, eloklah ditukar pakaian tersebut.

Pakaian-pakaian bernajis itu, kita perlu mencucinya sebagaimana yang telah dibincang dalam kelasahan pertama tadi.

Kesalahan 3 : Cara berwudu' sekiranya terdapat anggota wudhu' yang cedera atau berbalut.

      Pada zaman ini, dengan adanya kenderaan yang berteknologi tinggi dan mampu bergerak dengan laju, seringkali kita mendengar berita-berita kemalangan jalan raya dan seringkali kita melihat orang yang berjalan menggunakan tongkat dan kakinya bersimen dan ada juga yang terluka anggota badan sehingga nampak isinya.

      Seperti yang diketahui, agama Islam agama yang syumul atau dalam bahasa Melayu disebut menyeluruh. Oleh itu, setiap permasalahan yang kita terfikir pada hari ini, sudah terdapat petunjuknya daripada zaman Rasulullah lagi dan sudah dibincangkan dalam kalangan ulama'.

     Namun, terdapat ramai muslim yang jahil akan agamanya -minta dijauhkan oleh Allah daripada saya dan para pembaca-. Sistem pendidikan pada hari ini juga membantu kejahilan umat ini termasuk yang belajar dalam bidang agama Islam. Contohnya, seseorang yang belajar al-Quran dan al-Sunnah dalam sistem exam-oriented pada zaman ini tidak tahu tentang fiqah, sebagai contoh dalam bab ini, bab berkaitan wudu' anggota yang sakit. Ramai yang menjadikan balutan sebagai alasan wudhuk tidak sah dan tidak boleh solat.

    Walaubagaimanapun, saya mengharapkan dan mendoakan kemenangan Islam di Malaysia dan seluruh dunia supaya saya dan seluruh umat ini kembali mengenali Islam.

     Untuk lebih memudahkan para pembaca memahami bab ini, eloklah kiranya saya hanya menyalin balik terjemahan tajuk Al-Jabaair dan Al-'Asaa'ib daripada kitab Al-fiqh Al-Manhaji.

Al-Jabaair dan Al-'Asaaib
     Al-Jabaair ialah kata jamak kepada jabiirah yang bermakna : ikatan yang diletakkan di atas anggota yang patah bagi mengikat atau membalutnya.

    Dan al-'asaa'ib ialahh kata jamak kepada 'isaabah yang bermakna : ikatan yang diletakkan di atas anggota yang luka bagi menjaganya daripada kototran-kotoran sehingga ia sembuh.

      Oleh kerana Islam adalah agama yang memudahkan maka ia telah mengambil berat dalam masalah ini di mana Islam telah mensyariatkan beberapa hukum yang menggabungkan antara menunaikan ibadah dan menjaga keselamatan manusia.


Hukum Al-Jabaair dan Al-'Asaa'ib

     Pesakit yang ditimpa luka atau patah, kadang-kadang berhajat kepada meletakkan ikatan (balutan) dan ubat di atas tempat luka atau patah dan kadang-kadang tidak memerlukannya.

      Sekiranya perlu meletakkan balutan, maka ketika itu dia wajib melakukan ttiga perkara :


1. Membasuh bahagian yang selamat (tidak sakit) di anggota yang luka atau patah.
2. Menyapu seluruh balutan atau ikatannya.3. Beertayamum sebagai ganti membasuh bahagian yang sakit apabila sampai kepada anggota tersebut ketika berwudhuk.

Menurut apa yang diperkatakan dalam kitab diatas, perlu kepada empat peringkat. Manakala pendapat lain dalam Mazhab Syafie, tayamum perlu dilakukan di akhir wudhuk. Pendapat yang lain pula, tidak pelu kepada tayamum jika sudah disapu. - Dr Abu Anas, Abdul Basit

     Sekiranya balutan di atas anggota yang luka atau patah tidak diperlukan, maka dia wajib membasuh bahagian anggota yang sihat dan bertayamum bagi menggantikan bahagian yang luka sekiranya dia tidak boleh membasuh tempat sakit (luka) tersebut. Dia wajib mengulangi tayamum pada setiap kali sembahyang fardhu sekalipun dia tidak berhadas. Manakala anggota-anggota lain, ia tidak wajib dibasuh (semula) melainkan sekiranya dia berhadas.

Dalil Menyapu Di atas Al-Jabaair

     
Dalil ia disyariatkan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (336) daripada Jabir r.a. bahawa dia berkata :

Kami telah keluar bermusafir, tiba-tiba salah seorang daripada kami, kepalanya terkena batu lalu melukakannya. Kemudian (ketika tidur) ia bermimpi (yang menyebabkannya berhadas besar) dan (apabila bangun) dia bertanya kepada para sahabatnya, 
"Adakah kamu dapati keringanan (keizinan) bagiku untuk bertayamum?". 
Mereka menjawab,
 " Kami tidak mendapati keringanan untuk kamu berbuat demikian kerana kamu mampu menggunakan air".
Lalu dia pun mandi kemudian mati. Apabila kami sampai kepada Rasulullah s.a.w., kami menceritakan apa yang berlaku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, 
Mereka telah membunuhnya dan semoga Allah membunuh mereka. Kenapa mereka tidak bertanya apabila mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat kepada kesamaran atau kekeliruan itu ialah bertanya. Sesungguhnya memadai dengan dia bertayamum dan membalut lukanya dengan perca kain, kemudian menyapu di atasnya dan membasuh seluruh badannya.
Tempoh Menyapu Di atas Al-Jabiirah dan Al-'Isaabah

     Menyapu di atas al-jabiirah dan al-'isaabah (balutan), tidak mempunyai tempoh yang tertentu, bahkan ia berterusan selama mana sakit (keuzuran) itu masih ada. Apabila sakit (seperti luka dan patah) telah sembuh maka batallah sapu dan ia wajib dibasuh.

     Sekiranya tempoh sapu telah tamat, sedangkan dia dalam keadaan berwudhuk, maka wajib dia sama ada menyapu atau membasuh anggota yang terlibat (anggota yang dibuang balutannya) dan juga anggota wudhuk selepas anggota tersebut mengikut sebagaimana yang diwajibkan (disapu seperti kepala atau basuh seperti kedua tangan).

     Hukum pada al-jabaait (balutan) sama sahaja sama ada yang berkaitan dengan hadas kecil atau hadas besar. Kecuali dalam masalah hadas besar, sekiranya tempoh sapu telah tamat, seperti ia mandi wajib dalam keadaan berbalut, kemudian setelah beberapa hari, luka atau patahnya sembuh, maka ketika itu dia hanya wajib membasuh di tempat yang dibalut sahaja dan tidak wajib membasuh seluruh badannya (Berlainan dengan wudhuk; wajib dibasuh atau disapu anggota yang dibuka balutannya  dan anggota wudhuk yang selepasnya).

     Orang yang memakai balutt wajib mengqadakan solat sekiranya balut tersebut berada dalam salah satu keadaan berikut :

1. Apabila dia meletakkan balutan itu dalam keadaan tidak suci (berhadas) dan dia uzur (tidak dibenarkan) membukanya.

2. Balutan itu berlaku pada anggota tayammum iaitu muka dan kedua tangan.

3.Apabila kawasan yang sihat dibalut melebihi kadar balutan pada tempat sakit.


Wallahu A'lam.

Jika terdapat kesalahan, silalah perbetulkan. Pada awalnya, tidak berani saya untuk menulis dalam bab yang berkaitan fiqah tetapi diberanikan juga kerana kalau terdapat kesalahan dalam tulisan ini, ada tegurannya. Jika tidak ditulis, tiada tegurannya.

Semoga kita dapat mengambil apa yang baik dan membuang apa yang buruk.

Walhamdulillahi Rabbil-'Alamin.

1 comment:

  1. saya mohon dishare ilmu yg bermanfaat ini.terima kasih & harap dihalalkan.

    ReplyDelete

Dipersilakan komen...d'_'b

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...